MKN akan muktamad SOP longgar PKP ikut zon, kata Ismail

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baru mengikut zon dalam membenarkan kelonggaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu akan muktamadkan selepas perbincangan MKN dengan pihak berkuasa termasuk mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, perincian kelonggaran juga akan dibuat membabitkan pergerakkan dari dalam dan antara negeri.

“Setakat ini MKN sedang sediakan SOP mengikut 3 zon hijau, kuning dan merah, selain dari SOP dalam kawasan, kita juga sedang merangka SOP pergerakan dari dalam (negeri) ke luar dan dari luar ke dalam (pergerakan antara negeri). Bagi kawasan sempadan juga kita jaga, kita tidak mahu ada mereka dari zon merah masuk zon hijau.

“Perkara itu kita akan perincikan, kalau ada kelonggaran nanti sejauh mana akan diberikan, jadi MKN akan berbincang dengan KKM, polis untuk keluar SOP khusus tentang 3 zon ini.

“Kita tunggu mungkin akan dibentangkan dalam waktu terdekat dalam mesyuarat khas menteri-menteri,” katanya ketika sidang media harian, hari ini.

Beliau berkata demikian, ketika ditanya adakah negeri yang diumumkan kembali ke zon hijau akan ditamatkan PKP seperti Perlis.

Semalam Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 12 Mei ini selepas PKP fasa ke-3 sepatutnya berakhir 28 April ini.

Harga bakul makanan

Dalam perkambangan lain, Ismail berkata kerajaan tidak menetapkan sebarang harga bakul makanan kepada NGO yang ingin menyumbang untuk diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diagihkan kepada rakyat.

“Ada yang membuat posting di media sosial kononnya RM100 harga bakul makanan tapi yang dapat RM35. Pagi tadi menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat maklumkan pusat pengumpulan makanan JKM juga menerima penghantaran NGO dan sebagainya.

“Jadi kita tidak menetapkan kepada NGO dari segi jumlah kosnya, mereka boleh beri bantuan makanan bernilai RM30, RM70 dan RM100 terserah kepada NGO berkaitan,” katanya.

550 individu ingkar PKP

Ismail juga berkata polis menangkap 550 individu yang ingkar PKP berbanding 763 individu hari sebelumnya.

“480 individu yang direman dan 70 individu dijamin polis,” katanya sambil memaklumkan jumlah kenderaan di jalan raya semalam meningkat kerana ramai yang keluar membeli barangan bagi persiapan puasa.

Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP mencecah 20,000 iaitu 19,048 orang.