Muhyiddin bersama pemimpin dunia gesa kerjasama hasil vaksin Covid-19

Muhyiddin Yassin menawarkan sokongan penuh Malaysia terhadap kerjasama global untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menyertai beberapa pemimpin dunia menggesa kerjasama global untuk menyegerakan usaha dalam penghasilan vaksin Covid-19.

Perdana menteri menawarkan sokongan penuh Malaysia terhadap kerjasama global penting itu.

Katanya, dunia perlu saling bekerjasama untuk menyegerakan pembangunan, pengeluaran peralatan serta vaksin, dan memastikan akses sama rata di peringkat global terhadap teknologi kesihatan penting yang baru bagi memerangi Covid-19.

“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini dan turut serta dalam penghasilan serta pembuatan beberapa peralatan dan vaksin ini sebaik sahaja diperlukan.

“Saya menggesa pemimpin, penderma, sektor swasta dan komuniti saintifik di seluruh dunia menyokong usaha penting ini bagi memerangi Covid-19.

Beliau yang berbesar hati menyertai gesaan penting global itu, menegaskan Covid-19 “memberi kesan terhadap kehidupan kita dan ekonomi global dalam cara yang belum pernah dialami dalam sejarah kehidupan”.

“Satu-satunya cara kita boleh memusnahkan musuh bersama yang tidak kelihatan ini adalah menerusi solidariti dan kerjasama,” katanya ketika berucap dalam pelancaran pemecut Akses kepada Peralatan Covid-19 (ACT) anjuran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi sidang video yang disiarkan secara langsung malam ini.

Turut serta dalam sidang video itu ialah Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus selaku moderator, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez Perez-Castejon dan Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte.

Muhyiddin yang juga pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), berkata gesaan jelas untuk memastikan tiada siapa tercicir tidak pernah berlaku dan ia lebih penting sekarang.

“Dunia perlu saling bekerjasama untuk menyelaraskan usaha kita dan menyegerakan pembangunan peralatan berkesan bagi menghentikan penularan penyakit ini.

“Peranan PBB kekal sebagai satu daripada modaliti terkuat kita untuk membendung pandemik ini dalam cara yang dapat memastikan senjata dalam perang ini boleh sampai kepada setiap orang, di mana sahaja dan dalam waktu sesingkat mungkin.”

Tedros, dalam ucapan alu-aluannya berkata, inisiatif itu dilancarkan bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada peralatan yang diperlukan untuk menumpaskan Covid-19.

“Pemecut ACT akan membawa kepada penggabungan kuasa beberapa organisasi untuk bekerja secara pantas dan berskala.

“Setiap daripada kita sedang melakukan tugas penting, tetapi kita tidak boleh kerja bersendirian. Kita akan bekerjasama dalam cara baru untuk mengenal pasti cabaran dan penyelesaian secara bersama.

“Kita berdepan ancaman sama yang kita hanya dapat tumpaskan dengan pendekatan sama.”

Tedros berkata, sejak Januari lalu, WHO bekerjasama dengan ribuan penyelidik dari seluruh dunia untuk mempercepatkan pembangunan vaksin Covid-19.

“Dunia memerlukan peralatan ini dengan segera. Pengalaman lampau mengajar kita, walaupun peralatannya sudah ada, tetapi ia tidak diagihkan secara sama rata kepada semua. Kita tidak boleh membiarkan ini berlaku.”