Pendakwah Ebit Lew henti salur bantuan ketika PKP selepas dipanggil polis

Ebit Lew (kiri) sebelum ini giat membantu golongan memerlukan dengan wangnya sendiri sebanyak RM1 juta sejak PKP mula dilaksanakan 18 Mac lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendakwah bebas Ebit Lew menghentikan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, tetapi beliau akan terus membantu golongan tidak berkemampuan dengan memindahkan wang ke akaun mereka.

Beliau berbuat demikian selepas dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman hari ini berhubung laporan pihak mempertikaikan bantuannya.

“Saya minta maaf pada semua. Atas nasihat, setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung.

“Saya cuma akan ‘transfer’ duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah. Jangan ‘tag’ saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP baru saya cuba bantu,” tulisnya di Facebook hari ini.

Lew sebelum ini aktif membantu individu memerlukan sejak PKP bermula 18 Mac lalu, termasuk memberikan pelbagai sumbangan kepada petugas barisan depan.

Beliau turut berkongsi catatan di Facebook mengenai kunjungannya ke sebuah rumah usang dan kotor dengan seorang lelaki warga emas ditemui terlantar, tetapi ada pihak mempersoalkan peranan pihak berkuasa seperti kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah serta masyarakat sekeliling dalam membantu keluarga itu.

Mengulas kehadirannya ke Bukit Aman, Lew berkata, beliau dihubungi polis tengah malam tadi dan air matanya menitis ketika memberikan keterangan kerana mengenangkan nasibnya.

Beliau turut meminta maaf jika tindakannya mengguris hati sesetengah pihak.

“Saya memang tidak boleh tengok orang tidur atas najis atau tepi jalan. Lebih 100 orang dah saya bayar penginapan dan tempat tinggal.

“Saya minta maaf. Saya memang jadikan media ini medan berkongsi rasa kasih sayang dengan semua. Tadi menangis saya beri keterangan pada beberapa pegawai sebab penat kot. Serius penat sangat. Saya tidak salahkan sesiapa.”

Katanya, beliau menggunakan wang sendiri sebanyak RM1 juta untuk membantu golongan memerlukan dan petugas barisan depan.

“Perniagaan saya sebenarnya sangat baik. Syukur pada Allah. Rezeki melimpah ruah. Saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang di mana-mana. Masa PKP ini sudah berjuta habis.

“Duit simpanan saya sendiri dah sejuta ringgit saya belanjakan. Sekarang ramai juga mula bersama saya dalam kerja membantu dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan, termasuk petugas barisan hadapan.”