Perancis lapor 21,856 kes Covid-19, 516 kematian dalam tempoh 24 jam

Petugas perubatan menolak seorang pesakit di sebuah hospital di Rennes awal bulan ini. (Gambar AP)

PARIS: Perancis melaporkan 516 kematian pada Khamis akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan 21,856 kes, kata jabatan kesihatan negara itu.

Tetapi ia berkata jumlah pesakit dalam rawatan intensif terus menurun dalam tempoh 2 minggu, berkurangan 165 kes dalam tempoh 24 jam menjadi 5,053.

“Bagaimanapun, kita kekal pada tahap yang luar biasa, melebihi kapasiti maksimum rawatan intensif pra-krisis di Perancis berjumlah 5,000 katil,” kata jabatan kesihatan dalam satu kenyataan.

Majoriti kematian yang dilaporkan (13,547) berlaku di hospital, dan selebihnya di rumah persaraan dan fasiliti lain.

Walaupun hospital di seluruh Perancis masih menerima banyak kes baru, jumlah keseluruhan pesakit yang dijangkiti virus itu yang masih dirawat di hospital terus menurun, berdasarkan trend 8 hari.

Sebanyak 29,219 kes kini dirawat di hospital, turun 522 pada Rabu.

Sejak wabak itu bermula, 42,088 orang telah keluar hospital, tidak mengambil kira puluhan ribu orang yang sembuh tanpa ditahan, kata perkhidmatan kesihatan.

Pihak berkuasa Perancis berkata hari mendatang adalah kunci jika negara itu mampu mencapai jangkaan 11 Mei untuk menamatkan secara beransur-ansur sekatan pergerakan di seluruh negara itu yang berkuatkuasa pada pertengahan Mac.

Pegawai memberi amaran pengurungan perlu dibukti berjaya sebelum ia boleh ditarik semula.