Prosiding baru untuk badan kehakiman selepas PKP dilanjutkan

Hakim Mahkamah Tinggi boleh mendengar permohonan interlokutori tidak dicabar serta permohonan interlokutori yang dicabar tetapi ringkas.

PUTRAJAYA: Peguam boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan untuk mengadakan prosiding atas talian selepas perintah kawalan pergerakan dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bertujuan memastikan pihak terbabit dalam sesuatu kes mempunyai akses berterusan ke atas keadilan ketika PKP.

Semalam, Mahkamah Rayuan buat julung kali menggunakan sidang video menerusi Skype untuk menjalankan prosiding bagi rayuan 3 saman sivil berhubung tuntutan tanggungan.

Kenyataan itu turut menyatakan hakim Mahkamah Tinggi Malaya boleh mendengar rayuan interlokutori daripada Mahkamah Sesyen dan Majistret.

Katanya, hakim Mahkamah Tinggi boleh mendengar permohonan interlokutori tidak dicabar serta permohonan interlokutori yang dicabar tetapi ringkas.

Hakim juga boleh mendengar rayuan terhadap keputusan timbalan pendaftar dan penolong kanan pendaftar di dalam kamar.

Katanya, hakim juga boleh menyampaikan keputusan selepas perbicaraan dan mediasi yang dijalankan atas talian untuk inisiatif mahkamah atau permohonan pihak terbabit.

Menurut kenyataan itu, semua bentuk prosiding mahkamah yang dinyatakan pada 17 dan 26 Mac lalu dikekalkan.

Perbicaraan di semua mahkamah seluruh negara yang memerlukan pihak terbabit hadir secara fizikal digantung.

Litigan yang mahu memfailkan tuntutan atau rayuan mereka boleh berbuat demikian menggunakan sistem eKehakiman.