Singapura bina fasiliti mega tempat 15,000 pesakit Covid-19, pekerja asing

Singapura membina sebuah fasiliti mega di Terminal Tanjong Pagar bagi menempatkan 15,000 pesakit Covid-19 dan pekerja asing berikutan peningkatan mendadak jangkitan wabak itu, terutama dalam kalangan warga asing yang ditempatkan di asrama pekerja.

SINGAPURA: Sebuah fasiliti mega kini sedang dibina di Terminal Tanjong Pagar untuk menempatkan sehingga 15,000 pesakit Covid-19 dan pekerja asing dalam keadaan kes koronavirus di Singapura terus meningkat, menurut laporan The Straits Times semalam.

Sejak beberapa hari lepas, laporan itu menyebut, tinjauan ke kawasan itu menunjukkan khemah besar sedang dipasang menggunakan kren dengan lori membawa bahan binaan bangunan dilihat memasuki kawasan terminal tersebut yang dikosongkan sejak pemindahan operasi pelabuhan pada 2017 sebagai sebahagian pelan pembangunan pelabuhan mega masa hadapan di Tuas.

Sehingga Rabu, laporan itu menyebut sekurang-kurangnya 5 atau 6 barisan khemah siap dipasang di terminal itu.

Laporan itu berkata, sejak beberapa minggu lepas, kerajaan Singapura menyediakan beberapa lokasi untuk menempatkan pekerja asing yang sihat bagi mengekang penyebaran virus di asrama pekerja atau memindahkan mereka ke lokasi isolasi komuniti.

Pusat isolasi komuniti adalah bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang sedang pulih dan mereka yang mempunyai simptom yang ringan. Ini termasuklah Singapore Expo, Changi Exhibition Centre dan D’Resort NTUC di Pasir Ris, menurut laporan media itu.

Kesemua 10,000 pekerja asing dalam perkhidmatan perlu yang tinggal di asrama khas dipindahkan ke 18 kawasan penginapan alternatif seperti kem tentera, hotel, dewan sukan dan blok perumahan kerajaan yang kosong.

Kapal persiaran juga kini dicadangkan untuk menempatkan pekerja dengan 1 daripadanya SuperStar Gemini yang pada masa ini berlabuh di Marina Bay Cruise Centre Singapore, berhampiran kawasan Terminal Tanjong Pagar.

Sehingga tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan SIngapura mengesahkan 1,037 kes jangkitan Covid-19 baru di republik itu, dengan majoriti besarnya daripada penghuni asrama.

Dengan kes baru tersebut, jumlah keseluruhan kes untuk republik itu kini 11,178.