Tunjuk belas kasihan, kata pesuruhjaya Suhakam susulan kempen tolak pelarian Rohingya

Pesuruhjaya Suhakam Hishamudin Yunus dan Madeline Berma.

PETALING JAYA: Dua pesuruhjaya badan hak asasi manusia kerajaan, Suhakam menyuarakan kebimbangan mereka terhadap komen xenofobia yang tular terhadap komuniti pelarian Rohingya di negara ini berikutan pendedahan mengenai nasib mereka di beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang dikenakan perintah sekatan kerana Covid-19.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus berkata, komen atas talian dan berita yang tidak sah bertujuan membangkitkan rasa benci terhadap komuniti itu memperlihatkan kejahilan berhubung nasib pelarian.

Beliau berkata, pelarian tidak memilih untuk meninggalkan negara mereka tetapi terpaksa berbuat demikian berikutan diskriminasi dan penganiayaan yang berlaku.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita yang dikenali dengan sikap pemurah dan baik hati, perlu menunjukkan kasihan belas dan bersimpati terhadap pelarian yang tidak berdaya atas dasar kemanusiaan, selain menghormati hak asasi mereka sebagai pelarian.

“Selain itu, di mana dapat kita harus membantu menyumbang kepada keperluan asas mereka,” katanya kepada FMT.

Komen atas talian menyerang komuniti Rohingya muncul berikutan kebimbangan bahawa mereka mungkin berdepan kebuluran di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan, termasuk berdekatan pasar borong Selayang, yang membabitkan sebilangan besar komuniti itu yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Kerajaan sebelum ini berkata, orang asing yang terperangkap perlu dibantu oleh kedutaan masing-masing di negara ini.

Bagaimanapun etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar menyebabkan mereka tidak boleh memohon bantuan daripada kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.

Ramai berkata, pihak berkuasa perlu mendahulukan keselamatan rakyat Malaysia dalam perang terhadap wabak Covid-19, dengan satu petisyen dalam talian dibuat bagi mendesak Putrajaya supaya membiarkan pelarian Rohingya yang terkesan oleh pandemik itu.

Seorang lagi pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma memberi amaran bahawa kecenderungan xenofobia yang berlaku sekarang mungkin berterusan ketika negara berdepan kesukaran ekonomi dengan tanggapan bahawa orang asing “merampas” pekerjaan rakyat tempatan.

Pelarian Rohingya antara yang terjejas teruk berikutan pelaksanaaan perintah kawalan pergerakan kerana mereka tidak dapat memohon bantuan daripada kedutaan Myanmar yang tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat negara itu.

“Rakyat Malaysia harus dapat membezakan antara pendatang tanpa izin dengan pelarian atau pencari suaka.

“Dalam situasi Covid-19 ini pun, bantuan perlu diberikan tanpa membezakan antara rakyat atau bukan rakyat. Bantuan perlu diberikan atas dasar kemanusiaan,” katanya kepada FMT.

Madeline berkata, krisis Covid-19 yang berlaku mendedahkan jurang dalam sistem sokongan sosial negara.

Golongan miskin memang merupakan antara pihak yang paling terkesan, namun pekerja dan pendatang asing tanpa dokumen seperti orang Rohingya berdepan keadaan yang lebih buruk.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan mereka bekerja sebagai pengutip sampah, tukang cuci, pengawal, buruh dan pekerja binaan, iaitu jenis pekerjaan yang tidak digemari rakyat Malaysia.

Hishamudin berkata, masalah yang dihadapi komuniti Rohingya diburukkan lagi oleh ketiadaan pengiktirafan rasmi berhubung status mereka sebagai pelarian.

Malaysia bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pilihan 1967.

“Kita tidak ada sistem suaka bagi mengurus status dan hak pelarian dan pencari suaka.

“Oleh sebab undang-undang Malaysia tidak membezakan antara pelarian dengan pendatang asing tanpa dokumen, pelarian berdepan risiko ditangkap dan ditahan oleh pegawai imigresen,” katanya.

Beliau bagaimanapun memuji inisiatif Putrajaya menyediakan ujian saringan dan rawatan percuma Covid-19 kepada pelarian, dan juga usaha NGO memberi bantuan kepada komuniti tersebut.