2 rakyat Malaysia antara 53 kes baru Covid-19 di Thailand

Sebanyak 2,907 kes Covid-19 di Thailand dengan 51 kematian dicatatkan.

BANGKOK: Thailand mengesahkan 53 kes baru Covid-19 termasuk 42 di Pusat Tahanan Imigresen Sadao di wilayah selatan Songkhla dan 1 lagi kematian, menjadikan jumlah kes sebanyak 2,907 dan 51 kematian.

Daripada 42 kes itu, 2 adalah rakyat Malaysia, 34 dari Myanmar, Vietnam (3) serta masing-masing 1 dari Yemen, Kemboja dan India, semuanya ditahan atas kesalahan berkaitan imigresen.

Pemangku Ketua Polis Imigresen Sadao Kol Jen Mana Naktung berkata pada masa ini terdapat 115 pendatang termasuk kanak-kanak di pusat tahanan itu.

“Kami menjalankan pencarian kes aktif di pusat tahanan ini. Semua tahanan menjalani ujian Covid-19. Pada masa ini, 42 kes diuji positif.

“Kami masih menunggu keputusan ujian tahanan yang lain,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Pusat pemeriksaan Imigresen Sadao diarahkan tutup dari 22 hingga 29 April selepas sekurang-kurangnya 4 anggota di sana diuji positif Covid-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pasukan perubatan memberikan rawatan kepada semua 42 pesakit di Pusat Tahanan Imigresen Sadao.

Sementara itu, beliau berkata seorang lelaki warga Thai berusia 48 tahun yang dijangkiti virus itu bersama 4 lagi ahli keluarganya adalah kematian terbaru yang dilaporkan.

Sehingga kini beliau berkata, sebanyak 2,907 kes Covid-19 dilaporkan dengan 2,547 kes pulih dan discaj dari hospital manakala 309 lagi masih berada di hospital. Kematian akibat Covid-19 kini mencecah 51 orang.

“Pihak berkuasa akan terus menjalankan pencarian kes aktif di kawasan sasaran termasuk komuniti pendatang dan pusat tahanan imigresen,” katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini.

Thaweesilp berkata Thailand menambah 5 negara jiran – Singapura, Malaysia, Laos, Kemboja, Myanmar – dalam senarai Zon Jangkitan Penyakit pada 23 April untuk menguruskan secara berkesan pergerakan orang ramai dan membawa mereka ke kemudahan kuarantin ketika wabak Covid-19 ini.

Enam lagi negara dan wilayah dalam senarai itu ialah Korea Selatan, China, Macau, Hong Kong, Itali dan Iran.