20 pihak berkuasa pelabuhan dunia tandatangan deklarasi kekal perdagangan laut hadapi Covid-19

Sektor maritim memainkan peranan penting dalam mengekalkan aliran perdagangan terbuka semasa krisis kesihatan global Covid-19.

SINGAPURA: Dua puluh pihak berkuasa pelabuhan di seluruh dunia menandatangani deklarasi untuk mengekalkan pelabuhan mereka terbuka kepada perdagangan laut bagi menyokong usaha memerangi pandemik Covid-19.

Anggota Port Authorities Roundtable (PAR) dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Utara itu menyedari bahawa sektor maritim memainkan peranan penting dalam mengekalkan aliran perdagangan terbuka semasa krisis kesihatan global ini.

Deklarasi itu yang dimulakan oleh Singapura menggesa pihak berkuasa pelabuhan bekerjasama dan berkongsi amalan terbaik dalam memastikan operasi pelaburan tidak terganggu.

“Ketika dunia berjuang memerangi pandemik Covid-19, penting untuk mengekalkan pelabuhan kita terbuka agar barangan dapat bergerak,” kata ketua eksekutif Pihak Berkuasa Maritim Singapura (MPA), Quah Ley Hoon dalam satu kenyataan semalam.

Quah berkata industri perkapalan berdepan dengan cabaran baru dan tidak diketahui.

“Pihak berkuasa pelabuhan perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang dipertingkatkan bagi pelabuhan dan kapal mereka serta menguruskan tekanan yang dihadapi oleh pelaut dan kakitangan maritim kita,” katanya.

Selain Singapura, pihak berkuasa pelabuhan lain yang menandatangani deklarasi itu termasuklah Abu Dhabi Ports, Bureau of Port and Harbor, Hamburg Port Authority, Montreal Port Authority, Lembaga Pelabuhan Klang dan Port of Rotterdam

Menerusi deklarasi bersama ini, penandatangan komited untuk bekerjasama dan memastikan, antara lainnya, kapal pedagang boleh terus berlabuh di terminal pelabuhan bagi menjalankan operasi kargo dan mengekalkan pergerakan rantaian bekalan global.