6 kawasan di Selayang Baru kena kawalan ketat

PUTRAJAYA: Sebanyak 6 kawasan di Selayang Baru di Gombak, Selangor dikenakan kawalan ketat, perintah yang ke-7 sepertinya ketika tempoh kawalan bakal memasuki fasa ke-4.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini berkata kawalan ketat dikenakan selepas “mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan Covid-19 di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur”.

Berkuatkuasa 25 Apr hingga 3 Mei, perintah kawalan pergerakan diperketatkan dikenakan ke atas:

  • Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah
  • Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru
  • Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru
  • Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru
  • Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru
  • Blok A, B dan C, Selayang Makmur

Ismail memaklumkan kawalan ketat ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19. “Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa.”

Kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dikenakan kawalan ketat bermula 20 Apr.

Sementara itu, Ismail memaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun turun padang bagi memastikan bantuan bekalan makanan diagihkan secara teratur di kawasan itu.

Bantuan keperluan makanan asas sudah mula diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan dibantu petugas agensi-agensi berkaitan.

“Kita tutup hari ini terus edar. Supaya tidak timbul isu berkaitan bekalan makanan dan sebagainya,” katanya.

Ismail berkata penduduk yang memerlukan keperluan lain seperti lampin boleh menghubungi Talian Bencana Daerah Gombak 03-6120 1092 atau 03-6126 1500, atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2247 atau 03-6126 2240.

“Jika ada OKU yang memerlukan perhatian rapi, talian ini boleh digunakan,” tambahnya.