84 individu ditahan ceroboh negara ikut ‘lorong tikus’, kata Ismail

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, seramai 84 individu ditangkap kerana menceroboh negara ini melalui “lorong tikus”.

Ismail berkata pemantauan sempadan termasuk lorong tikus terus diperhebat dan diperketatkan.

“Kerajaan sentiasa tegas dalam memastikan sempadan dan kedaulatan negara tidak dicerobohi.

“Setiap agensi keselamatan terlibat dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutamanya lorong tikus bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara, sekaligus membendung penularan Covid-19 ke dalam negara,” katanya pada sidang media harian.

Dalam pada itu, Ismail berkata 11 daripada 13 penjara sementara yang diwartakan sebagai pusat tahanan bagi mereka yang ingkar PKP mula beroperasi.

“Setakat ini, 58 individu yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan ingkar PKP dihantar ke penjara sementara tersebut,” katanya.