Bantu kekal kecantikan Sungai Melaka, kata ketua menteri

Sungai Melaka, yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat, kini bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan PKP. (Gambar Bernama)

MELAKA: Ketua Menteri Sulaiman Md Ali menyeru semua pihak supaya mengekalkan kecantikan Sungai Melaka yang kelihatan bersih dengan airnya berwarna kehijauan, seperti tular dalam media sosial berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kini.

Beliau berkata, keadaan Sungai Melaka yang bersih itu menunjukkan pelaksanaan PKP mempunyai banyak hikmah untuk difikirkan dan diinsafi bahawa kerosakan serta kebinasaan yang berlaku adalah akibat kerakusan manusia.

Justeru, beliau menyeru supaya semua pihak supaya mencintai dan memelihara alam sekitar serta sungai untuk kepentingan generasi akan datang.

“Keadaan ini (Sungai Melaka bersih) berikutan pertamanya tiada aktiviti seperti sebelum penularan Covid-19 berlaku di persekitaran dan sepanjang Sungai Melaka akibat PKP; kedua di hulu Sungai Melaka juga segala aktiviti tidak rancak berlaku akibat itu.

“Ketiga segala aktiviti perjalanan bot persiaran tidak lagi beroperasi seperti biasa di sepanjang sungai itu dan keempat-empat bot persiaran menggunakan bahan bakar petrol dan sistem penyejukan enjin juga menjadi punca pencemaran kepada air sungai,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Sungai Melaka, yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat seumpama teh tarik, kini bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan PKP dan gambar ‘kehijauan’ sungai itu menimbulkan keterujaan dalam kalangan warganet.

Beliau berharap tahap kebersihan dan keindahan lokasi pelancongan menarik di Melaka ini dapat terus dikekalkan bukan sahaja sepanjang tempoh PKP, malah pada masa yang akan datang.

“Kita tahu sepanjang tempoh PKP ini, tiada kemasukan pelancong dari luar ke negeri Melaka, malah penduduk tempatan juga tidak boleh bebas bergerak.

“Sebab itu, saya sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka supaya menjadikan agenda meningkatkan tahap keindahan, kebersihan dan keceriaan kawasan pentadbiran masing-masing sebagai keutamaan,” katanya.

Beliau turut berharap negeri Melaka dan Bandaraya Melaka khususnya dapat muncul sebagai negeri atau bandar yang paling bersih di negara ini seperti yang pernah dicapai sebelum ini.