Dakwaan petugas kesihatan maut kerana PPE tidak cukup tidak benar, kata penasihat khas PM

Penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri Dr Jemilah Mahmood berkata difahamkan jururawat terbabit dijangkiti Covid-19 daripada rakan sekerjanya di wad ortopedik.

PETALING JAYA: Dr Jemilah Mahmood, penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri menolak dakwaan seorang pakar paediatrik bahawa seorang petugas kesihatan maut selepas dijangkiti wabak Covid-19 kerana kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Beliau berkata, kematian jururawat berusia 32 tahun akibat virus maut itu tidak ada kaitan dengan ketiadaan PPE.

Difahamkan mangsa dijangkiti virus tersebut daripada rakan sekerjanya dalam wad ortopedik yang sama.

Rakan mangsa pula dijangkiti oleh suami beliau yang mungkin terdedah kepada kumpulan tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Tuduhan bahawa kematian itu berpunca daripada kekurangan PPE adalah tidak benar,” katanya kepada FMT.

Jemilah juga berkata, PPE bukan keperluan di wad ortopedik dan setakat hari ini tidak ada seorang pun petugas kesihatan di wad Covid-19 yang mewajibkan pemakaian PPE meninggal dunia.

Jemilah menjawab kenyataan pengerusi majlis penasihat Persekutuan Pertubuhan Perubatan Islam (Fima), Dr Musa Mohd Nordin yang mendakwa mangsa dijangkiti kerana kekurangan PPE.

Musa mengongsi satu hantaran di WhatsApp yang menyebut, “kita kehilangan seorang jururawat berusia 31 tahun, seorang petugas barisan depan, anak, adik, sumber nafkah, rakan sekerja dan bukan sahaja pesakit nombor 3871.”

Merujuk kepada statistik petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), Musa berkata, cakap-cakap daripada kementerian itu seolah-olah mencadangkan petugas kesihatan adalah kebal terhadap jangkitan Covid-19 di hospital.

“Permintaan terhadap PPE daripada petugas kesihatan kita di peringkat akar umbi dan pengakuan KKM ia kekurangan bekalan, maka tidaklah memeranjatkan jangkitan baru akan berlaku dalam kalangan petugas perubatan,” kata Musa.

Jemilah berkata, walaupun beliau menghormati sumbangan Musa kepada masyarakat, namun lebih baik sekiranya beliau mengesahkan kedudukan sebenar dengan ketua pengarah kesihatan atau dirinya.

Katanya, beliau dan Musa merupakan anggota majlis penasihat di bawah bekas menteri Dzulkefly Ahmad.

“Ada caranya untuk berbeza pandangan, tetapi betulkan faktanya terlebih dahulu. Doktor mesti bertindak berdasarkan etika dan tatatertib.”

Sebelum ini Musa, yang merupakan pakar pediatrik, menuduh pihak berkuasa gagal melindungi petugas kesihatan barisan depan yang merawat pesakit Covid-19 di hospital awam di seluruh negara.

Beliau mengkritik KKM dengan berkata, petugas barisan hadapan berisiko dijangkiti Covid-19 kerana ketiadaan PPE.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebahagian besar petugas kesihatan yang dijangkiti virus itu tidak mendapatnya ketika menjalankan tugas.