Dibelasah teruk penduduk kampung gara-gara curi sekampit beras kerana terlalu lapar

Hilang sumber pendapatan kerana ‘lockdown’ Covid-19, lelaki ini dibelasah kerana curi sekampit beras. (Gambar Facebook)

Gara-gara terlalu lapar, seorang lelaki berusia 40 tahun dari Medan, Indonesia terpaksa melakukan satu langkah drastik.

Bagaimanapun nasib malang terus menimpa lelaki itu apabila bukan sahaja ditangkap malah dibelasah teruk selepas hilang sumber pendapatan akibat wabak Covid-19.

Dia ditangkap oleh penduduk kampung ketika mencuri satu kampit beras di sebuah gerai di kampung Medan Polonia.

Penduduk kampung bertindak memukul lelaki tersebut sehingga mendatangkan kecederaan yang teruk.

Dia kemudian mengaku terpaksa mencuri kerana kelaparan dan sudah tidak mempunyai apa-apa yang boleh dimakan di rumahnya.

Lelaki tersebut meminta maaf kepada penduduk kampung dan memulangkan semula kampit beras 5kg yang diambil daripada gerai itu.

Penduduk kampung kemudian membawanya ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Ketika ditanya oleh pihak polis, lelaki ini memberitahu dia tinggal bersendirian di rumahnya selepas ditinggalkan oleh isteri dan anak-anaknya.

Oleh kerana keadaan Covid-19 yang semakin teruk di Indonesia, dia hilang sumber pendapatan daripada pekerjaan harian yang dilakukan sebelum ini.

Pihak polis kemudian datang ke rumahnya dan melihat sendiri keadaan sebenar lelaki tersebut.

Bersimpati dengan nasib yang menimpa lelaki itu, pihak polis turut memberikan sumbangan beras, telur dan sedikit wang tunai untuk membantu lelaki ini meneruskan kehidupannya.

Menurut lelaki itu, dia ada menerima bantuan beras sebelum ini tetapi dia memberikan kesemuanya kepada isteri dan anak-anaknya yang berada di rumah orang tuanya.

Disebabkan itu dia tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan lagi di rumahnya.

Sehubungan itu, pihak polis memintanya untuk memberitahu pada mereka jika bekalan makanan sudah habis dan tidak lagi mencuri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]