Isu utama keselamatan semua, Takiyuddin jawab PH isu sidang Parlimen

Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan Dewan Rakyat isu utama dalam keputusan mengadakan sidang sehari pada 18 Mei ini, tanpa sesi jawab lisan, waktu pertanyaan menteri serta usul daripada wakil rakyat.

Menjawab kenyataan majlis presiden Pakatan Harapan pada 23 Apr, Takiyuddin menjelaskan keputusan itu berdasarkan keadaan dan perkembangan semasa, khususnya usaha mengawal wabak Covid-19, dan peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Kerajaan mengambil maklum tentang pandangan dan cadangan yang disuarakan, namun percaya ia bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami susunan keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis presiden PH berkata ia akan menghantar wakil gabungan itu untuk bertemu speaker Dewan Rakyat bagi menggesa persidangan Dewan Rakyat dijalankan lebih daripada sehari, memberi negara lain yang mampu melakukannya ketika berdepan penularan Covid-19.

Gabungan itu juga membantah keras persidangan yang akan dijalankan tanpa sesi jawab lisan, waktu pertanyaan menteri serta usul daripada wakil rakyat, mengatakan ia melanggar kelaziman dan peraturan mesyuarat Parlimen.

Takiyuddin hari ini berkata kerajaan tidak bersedia untuk mengambil risiko, terutama apabila ia didasarkan kepada pertimbangan serta keputusan negara lain “yang tidaklah lebih baik kedudukan mereka” dalam mendepani wabak Covid-19.

“Kerajaan percaya dalam keadaan hari ini, kita bukanlah berdepan pertandingan siapakah yang lebih popular, tetapi keutamaannya ialah siapakah yang lebih berkesan,” katanya.