OKU cari sumber pendapatan semasa PKP ajar mengaji Al-Quran

Lee Abdullah antara 25 OKU penglihatan yang terjejas pendapatan kerana PKP menerima bantuan barang keperluan asas daripada Liga Muslim Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Biarpun dilahirkan tanpa deria penglihatan, Mohd Lee Abdullah tidak mahu menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk duduk sahaja ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Terkesan akibat penularan Covid-19 kerana pekerjaannya bergaji harian, Lee, 53, yang juga guru Al-Quran braille, mengambil peluang mencari sumber pendapatan dengan mengajar golongan orang kurang upaya (OKU) mengaji kitab suci itu.

“Sejak PKP dijalankan, saya ada menyatakan hasrat untuk mengadakan kelas dalam talian kepada pelajar, namun ada pelajar sukar mendapatkan akses internet. Jadi semenjak itu, saya hanya mengajar pelajar yang boleh dihubungi.

“Saya dan rakan-rakan dari seluruh Malaysia juga akan mengadakan bacaan Al-Quran secara dalam talian menggunakan aplikasi TeamLink pada Ramadan ini, dapat juga saya mengajar sesiapa yang ingin belajar,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas menerima bantuan kepada golongan OKU sempena Ramadan oleh Liga Muslim Pulau Pinang di perkarangan kediamannya di Flat Jalan Kedah baru-baru ini.

Mengimbau kembali kenangan ketika mula memeluk Islam 33 tahun lepas, pemilik nama asal Lee Soon Chy itu berkata minatnya terhadap Islam berputik sejak di bangku sekolah.

Beliau mula belajar membaca tulisan braille sejak sekolah rendah dalam pelbagai bahasa antaranya bahasa Melayu dan Inggeris serta tulisan Jawi.

“Saya mengambil subjek Pendidikan Islam di sekolah dahulu dan disebabkan itu saya boleh membaca braille dalam tulisan Jawi. Saya mula gilapkan kemahiran membaca Al-Quran setelah memeluk Islam. Tidak sukar kerana saya sudah ada pengetahuan asas.

“Bagi saya, belajar membaca Al-Quran amat penting apabila kita menjadi orang Islam. Sangat-sangat memalukan dan rugi jika saya memeluk Islam tapi tidak membaca Al-Quran,” katanya.

Lee berkata kebolehan dan kelancarannya membaca tulisan braille banyak membantu beliau berkhidmat dalam penerbitan tulisan braille ketika bersama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) di Kuala Lumpur dari 2004 hingga 2018.

Namun beliau terpaksa meninggalkan kerjayanya itu selepas mengambil keputusan untuk berumahtangga 2 tahun lepas dengan wanita pilihannya yang juga seorang OKU, Fadzilah Ahmad, 53, dan menetap di Pulau Pinang.