Pelajar pulang ke Sabah mungkin tak perlu dikuarantin, kata menteri

Pelajar IPTA terperangkap di pusat pengajian masing-masing sejak 18 Mac lalu.

KOTA KINABALU: Pelajar Sabah yang kembali ke negeri itu mulai minggu depan akan dihantar terus ke kampung halaman masing-masing, kata menteri Sabah.

Menteri Pendidikan negeri Yusof Yacob berkata, kerajaan Sabah mempunyai strategi untuk mengendalikan pelajar yang pulang tetapi akan menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara.

Beliau tidak menolak kemungkinan pelajar itu masih boleh dikuarantin selama 14 hari setelah mereka pulang.

Yusof berkata, pelajar dari negeri lain sudah menjalani saringan dan diasingkan di kampus selama lebih sebulan.

“Sekiranya mereka menunjukkan simptom ketika dalam penerbangan pulang, barulah kita kuarantin mereka,” kata Yusof hari ini.

Semalam menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata pelajar yang terkandas di kampus seluruh negara boleh pulang secara berperingkat mulai Isnin.

Menteri Pendidikan Sabah Yusof Yacob.

Yusof berkata ibu bapa tidak perlu mengambil anak mereka di lapangan terbang, sebaliknya boleh berbuat demikian di balai polis di kampung masing-masing.

“Bagi mereka yang berasal dari Pantai Timur, kami mungkin perlu mengatur agar mereka diterbangkan terus ke Sandakan atau lapangan terbang Tawau. Kami juga mungkin mengatur bas ulang-alik untuk membawa pelajar pulang ke daerah seperti Kunak dan Semporna,” katanya.

Yusof berkata, terdapat 37 pelajar yang menjalani program pertukaran di Kuching, Sarawak, dan 87 lagi di Semenanjung Malaysia.

Lebih 3,000 pelajar tajaan negeri di pelbagai kolej dan universiti tempatan dan asing dijangka pulang mulai minggu depan.

“Kami akan menunggu sehingga mereka diberi izin untuk pulang,” kata Yusof. Kementerian Pendidikan akan menguruskan kepulangan pelajar tersebut.