Pengguna media sosial buat kenyataan anti Rohingya susulan berita palsu

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia Zafar Ahmad Abdul Ghani menjadi mangsa penyebaran berita palsu selepas dikatakan menuntut hak kerakyatan penuh untuk pelarian Rohingya dan hak sama rata dengan rakyat Malaysia.

PETALING JAYA: Pengguna media sosial dilihat mula mengeluarkan kenyataan mengkritik komuniti pelarian Rohingya dan menggesa Putrajaya bertindak menghantar etnik ini pulang semula ke negara asal, iaitu Myanmar.

Ia selepas Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu selepas dikatakan menuntut hak kerakyatan penuh untuk pelarian Rohingya dan menuntut hak sama rata dengan rakyat Malaysia.

Berdasarkan semakan FMT di media sosial, pengguna Twitter @nurazlinkorea mempertikaikan mengapakah Malaysia menjadi destinasi buat pelarian Rohingya, sedangkan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia lokasinya lebih dekat dengan Mynamar.

Pengguna Twitter @HalimOsman11 dalam responsnya terhadap laporan FMT yang memetik gesaan presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid supaya masyarakat tidak membenci pelarian, termasuk warga Rohingya turut dipertikaikannya.

Zafar Ahmad Abdul Ghani

“Duduk ‘aircond’ pakai kemas. Mana tahu masalah rakyat berdepan dengan kaum ini. Sikap orang atas seperti inilah membuat mereka pijak kita. Fikirlah 20 tahun akan datang. No Rohingya,” tulisnya.

Manakala itu, @MuhdRahmat01 menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya menyelesaikan masalah membabitkan komuniti Rohingya di negara ini dengan bertindak menghantar mereka pulang ke negara asal.

“Tolong selesaikan masalah Rohingya untuk dihantar balik semua. Kami rakyat Malaysia menolak kehadiran atau permintaan tidak masuk akal mereka,” katanya.

Pengguna Twitter @Hafiez301 pula, mendesak Putrajaya dan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menyatakan pendirian berhubung isu yang ketika ini hangat dipertikaikan rakyat.

“Nampaknya kerajaan dan menteri berkaitan masih membisu berkenaan isu panas mengenai Rohingya ini. Rakyat hendak tahu apa pendirian kerajaan berkenaan isu ini,” katanya.

Nada sama dibangkitkan @amirrembau11gm1 yang menggesa Muhyiddin memberikan respons berhubung kemarahan rakyat terhadap komuniti Rohingya di negara ini, yang menurutnya semakin besar kepala.

“Adakah pas Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) boleh menjadikan mereka kebal undang-undang? Tibalah masanya kita membersihkan negara ini daripada pendatang asing,” katanya.

Bukan itu sahaja, pengguna Twitter @amanasyran pula dilihat secara tidak langsung memberikan amaran kepada komuniti Rohingya supaya terus berdiam diri di rumah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Artis Malaysia minta bantuan pun tidak dapat. Ini lagi kaum kau minta macam-macam selepas itu buat rusuhan pula lagi. Kaum Rohingya di Malaysia, baik awak duduk diam-diam dekat rumah, jangan sampai orang awam yang ambil tindakan,” katanya.

Manakala itu, @RameshRaoAKS pula mendesak Putrajaya, Muhyiddin dan Menteri Dalam Negeri Negeri Hamzah Zainudin menutup pejabat UNHCR di Malaysia dengan segera.

“Batalkan pengiktirafan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Rohingya dengan serta merta. Tiada lagi imuniti, tangkap mereka sebagai pendatang haram yang lain,” kata @RameshRaoAKS.

Sementara itu di Facebook, pengguna Zulkifly Mahmud dalam ruang komen mencadangkan kepada Putrajaya supaya menghantar komuniti Rohingya pulang ke Myanmar selepas tempoh PKP tamat. Pandangannya itu turut disukai 55 pengguna Facebook yang lain.

Bagi pengguna Lew Hong berkata, negara pada ketika ini sedang mengalami masalah kemerosotan ekonomi dan menurutnya sudah tidak mampu untuk menanggung komuniti Rohingya.

“Rakyat sudah kuat bersuara, hantar puak-puak Rohingya balik. Sikap angkuh dan tidak tahu mengenang budi, cukuplah balik negara asal kamu. Jangan ganggu kami rakyat warganegara Malaysia.

“Kami sekarang mengalami kemerosotan ekonomi, tidak mampu menanggung orang Rohingya lagi. Jangan sebut kemanusiaan sebagai tipu helah meminta bantuan,” katanya.

Pengguna Facebook Simon Malan menulis komen tentang “malapetaka lebih besar” yang akan terjadi sekiranya komuniti Rohingya terus diberi muka di Malaysia.

“Puak jahanam Rohingya. Hantar balik secepat mungkin. Malapetaka besar akan terjadi jika puak ini diberi muka di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Hishamudin Yunus menggesa orang ramai menunjukkan sikap belas kasihan kepada komuniti pelarian di negara ini kerana mereka tidak memilih untuk meninggalkan negara mereka tetapi terpaksa berbuat demikian.

Hishamudin yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan berkata, komen atas talian dan berita yang tidak sah yang bertujuan membangkitkan rasa benci terhadap komuniti itu memperlihatkan kejahilan berhubung nasib pelarian.

Bahkan, menurutnya masalah yang dihadapi komuniti Rohingya diburukkan lagi oleh ketiadaan pengiktirafan rasmi berhubung status mereka sebagai pelarian.

Ketika ini, Malaysia bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pilihan 1967.