Penghuni Menara City One nafi jadi punca kesesakan ketika saringan

Penghuni di blok B dan blok A Menara City One didakwa turun serentak ketika arahan meminta penghuni di blok A sahaja menjalani saringan.

PETALING JAYA: Penghuni pangsapuri Menara City One di Kuala Lumpur menafikan kenyataan mereka penyebab kesesakan sewaktu ujian saringan di kawasan kediaman itu malam tadi.

Dalam satu kenyataan bersama, penghuni dan pihak pengurusan pangsapuri itu menegaskan mereka sudah berulang kali meminta agar prosedur penyaringan dilakukan secara berperingkat.

Mereka berkata ia jelas bertentangan dengan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri sambil menambah kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku.

“Ini adalah kali ke-2 ni berlaku, dengan yang pertama berlaku pada 8 April.

“Kami menafikan ada sejumlah besar penduduk blok B yang datang untuk pemeriksaan seperti yang disebutkan oleh Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbarnya hari ini,” kata kenyataan itu.

Ini susulan Noor Hisham berkata penghuni di blok B dan blok A turun serentak ketika arahan meminta penghuni di blok A sahaja yang menjalani saringan.

Mereka juga berkata pemeriksaan yang dijalankan petugas KKM dari pintu sejak 31 Mac tidak memadai.

Mereka juga berkata tiada maklumat yang diminta oleh petugas kesihatan tentang rekod perjalanan dan kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Atas sebab itu, mereka meminta KKM lebih telus dalam prosedur saringan kesihatan dan menggesa melakukan pemeriksaan dari pintu ke pintu.

“Kumpulan berisiko tinggi juga akan dilindungi dengan kaedah (saringan) sebegini.

“Meminta penduduk berkumpul dalam jumlah besar dan beratur untuk diperiksa juga mendedahkan mereka kepada jangkitan Covid-19.”