Perak harap Putrajaya benar industri penting beroperasi susulan lanjutan PKP

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, antara industri yang perlu dipertimbangkan untuk dibuka semula adalah sektor perkayuan kerana ia tidak melibatkan orang ramai.

IPOH: Kerajaan Perak berharap kerajaan persekutuan mempertimbangkan agar sektor industri penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dibenarkan beroperasi susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan selama 2 minggu lagi, mulai 29 April ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, antara industri yang perlu dipertimbangkan untuk dibuka semula di negeri ini termasuk sektor perkayuan kerana ia tidak melibatkan orang ramai.

“Industri kayu sekiranya tidak beroperasi akan menyebabkan kayu reput, malah industri ini mempunyai tempahan sekali gus menyumbang jumlah yang besar (kepada pendapatan kerajaan negeri),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program sahur bersama petugas barisan depan di sekatan jalan raya Tol Jelapang tengah malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Perak Razarudin Husain dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wan Norashikin Wan Noordin.

Faizal berharap Putrajaya meneliti perkara itu kerana ekonomi negeri agak terkesan apabila banyak aktiviti perniagaan dan perindustrian tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.

“Saya fikir industri yang tidak melibatkan orang ramai boleh menjalankan semula operasi. Harap orang ramai boleh faham terdapat industri yang boleh dibuka untuk memberi hasil pendapatan kepada negeri seterusnya berfungsi seperti biasa demi rakyat.

“Contohnya industri kuari, kerajaan negeri dibenarkan buat keputusan dan kita memilih untuk memberi kebenaran kepada industri kuari terpilih beroperasi kerana tidak melibatkan orang ramai dan terletak jauh dari tempat awam,” katanya.

Menteri besar berkata sebarang keputusan yang dilakukan kerajaan untuk kebaikan semua pihak.

Mengenai sumbangan makanan kepada petugas barisan depan, beliau berkata kira-kira 7,000 pek makanan disediakan setiap hari sepanjang Ramadan untuk sahur dan berbuka puasa melalui pejabat daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.