Petugas barisan depan resah tiada siapa jaga anak mereka semasa PKP

Pekerja penjagaan kesihatan, terutama pasangan yang berada di barisan depan melawan Covid-19, menghadapi masalah menjaga anak semasa PKP.

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan amat menyukarkan pekerja kesihatan yang mempunyai anak kerana pusat jagaan kanak-kanak ditutup.

Hairil Ariffin, 27, yang bekerja di Hospital Selayang, berdepan masalah besar kerana dia dan isteri pekerja kesihatan dan tiada orang yang boleh jaga anak mereka yang berusia 4 tahun.

“Lagi sukar bila anak kami kurang upaya yang memerlukan rawatan terapi khas di pusat jagaan kanak-kanak,” kata Hairil kepada FMT.

Beliau berkata anaknya mengalami “global development delay” atau lewat perkembangan, dan gangguan pada terapi boleh menyebabkan lewat perkembangan intelek.

Walaupun pusat jagaan kanak-kanak ditutup, dia masih perlu membayar separuh daripada yuran bulanan. “Saya dan isteri masih perlu bayar RM750 sebulan untuk yuran asuhan anak.”

Menurut Hairil, kanak-kanak berkeperluan khas perlukan perhatian lebih, tetapi kerana sifat kerjanya, dia sukar memenuhi keperluan anaknya.

Dia bimbang keadaan ini akan memburukkan keadaan anaknya kerana dia dan isteri perlu bekerja waktu yang panjang.

“Masa kami bersama anak adalah minimum dan sepatutnya pusat jagaan kanak-kanak yang melengkapinya,” katanya.

Hairil tiada pilihan kecuali menghantar anaknya kepada seorang pengasuh tidak berdaftar buat masa ini.

“Ada ketika pengasuh tidak dapat tolong, jadi saya dan isteri perlu tukar syif dengan rakan sekerja,” katanya.

Azrul Fitri, 26, seorang pekerja penjagaan kesihatan di sebuah hospital swasta, bersyukur mertuanya boleh menjaga anaknya yang berusia 1 tahun.

“Mertua saya tinggal di rumah saya buat masa ini untuk menjaga anak saya,” katanya kepada FMT.

Farah Hanani, 25, seorang jururawat di Pusat Perubahan Universiti Malaya berkata, beberapa hospital swasta masih membenarkan pusat jagaan kanak-kanaknya beroperasi semasa PKP.

“Pusat jagaan PPUM beroperasi macam biasa,” katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat sedar akan isu penjagaan kanak-kanak ini terutama dalam kalangan petugas barisan depan.

“Cuepacs sudah mencadangkan kepada kerajaan, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat jagaan kanak-kanak yang diselia JKM dibuka untuk menjaga kanak-kanak petugas barisan depan.

“Dengan cara ini, Cuepacs yakin petugas barisan depan tidak akan berdepan masalah jika mereka diarah bekerja pada bila-bila masa, terutama pasangan yang terlibat secara langsung,” katanya kepada FMT.