Saringan di Menara City One sesak kerana 2 blok turun serentak, kata Noor Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjelaskan kesesakan semasa ujian saringan di Menara City One di Kuala Lumpur semalam berpunca daripada kekeliruan dalam kalangan penghuni pangsapuri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan semalam sepatutnya hanya melibatkan penghuni blok A, tetapi penghuni blok B juga turun ke tempat pemeriksaan.

FMT hari ini melaporkan penghuni mengadu petugas kesihatan tidak mengamalkan garis panduan betul semasa melakukan saringan saat akhir di pangsapuri itu malam tadi.

Penghuni yang enggan dikenali mendakwa penghuni beramai-ramai berada di kawasan terbuka di tingkat bawah dan tiada penjarakkan sosial. Lif juga sesak, katanya.

Menara City One berdekatan Jalan Masjid India dikenakan kawalan ketat pada 31 Mac hingga 13 Apr, melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit pangsapuri dan premis perniagaan.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata keadaan sesak itu berjaya dikawal dengan baik dengan kerjasama polis.

Katanya, para petugas kesihatan di situ mengambil sedikit masa untuk memastikan penjarakkan sosial dapat dipatuhi.

“Kami berharap dari segi pelaksanaannya dapat dipertingkatkan dan mempraktikkan jarak sosial dalam kalangan penduduk,” katanya.

Ditanya mengenai penghantaran kit ujian antigen dari Korea Selatan, Hisham berkata pesanan 200,000 kit ujian tersebut belum tiba.

Sebelum ini, kementerian menjangkakan kelewatan kit ujian antigen itu akibat masalah logistik dan permintaan tinggi.