Turki hantar bekalan perubatan bantu Palestin hadapi Covid-19

Palestin mencatatkan 480 kes Covid-19 dengan 2 kematian setakat ini. (Gambar AP)

RAMALLAH: Turki pada Jumaat menghantar sumbangan berupa peralatan perubatan ke Palestin untuk membantu negara itu melawan wabak Covid-19, lapor agensi berita Anadolu.

Bantuan termasuk kit ujian Covid-19, penutup hidung dan mulut, pakaian khas dan peralatan asas lain it, disampaikan oleh agensi penyelarasan dan kerjasama Turki (TIKA) kepada pegawai kesihatan Palestin dalam satu majlis di bangunan Kementerian Kesihatan di Ramallah.

Menteri Kesihatan Palestin Mai Al-Kaileh menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan Turki itu.

Turki mengumumkan pakej bantuan untuk Palestin dalam mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, OIC mengadakan mesyuarat luar biasa untuk membincangkan langkah pencegahan untuk membendung virus itu.

Sejak 2006, rejim Israel mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza, yang dihuni hampir 2 juta penduduk Palestin, menyebabkan sektor ekonomi, kesihatan dan pendidikan terjejas.

Palestin mencatatkan 480 kes Covid-19 dengan 2 kematian setakat ini.

TAG: