Universiti Oxford yakin vaksin dihasilkannya mampu rawat Covid-19, 2 sukarelawan pertama disuntik

Ahli mikrobiologi Elisa Granato menjadi individu pertama menjalani ujian percubaan vaksin Covid-19 ke atas manusia di UK. (Gambar Twitter)

2 orang saintis disuntik dengan apa yang diharapkan menjadi vaksin Covid-19 dalam percubaan pertama ke atas manusia di United Kingdom.

Penyelidik University of Oxford pada Khamis memberikan dos pertama kepada salah seorang daripada mereka, sementara seorang lagi diberi vaksin meningitis untuk perbandingan.

Kumpulan Vaksin Oxford, yang sangat optimis ia akan berjaya berharap dapat mengulangi proses ini terhadap 6 lagi sukarelawan.

Ahli mikrobiologi Elisa Granato dan penyelidik kanser Edward O’Neill menawarkan diri untuk menjadi 2 peserta pertama.

Mereka ingin membantu dalam sesuatu yang mungkin menjadi pembangunan inovatif dalam memerangi wabak tersebut.

Granato, yang mengambil bahagian dalam percubaan ini pada ulang tahunnya yang ke-32 berkata dia teruja untuk menyokong usaha ini dengan menjadi sukarelawan.

Katanya kepada BBC: “Disebabkan saya tak belajar tentang virus, saya rasa agak tak berguna hari ini, jadi saya rasa inilah cara yang sangat mudah bagi saya untuk menyokong.”

Manakala bagi O’Neill: “Nampak ia macam perkara yang betul untuk dibuat bagi memastikan kita dapat memerangi penyakit ini dan mengatasinya dengan lebih cepat.”

Profesor Sarah Gilbert, yang mengetuai pasukan yang melakukan percubaan itu berkata dia optimis terhadap peluang kejayaan vaksin tersebut.

“Secara peribadi, saya sangat optimis ia akan berjaya. Secara rasmi, kami mengujinya dalam keadaan berkesan.

“Semestinya tiada cadangan bahawa kami akan mula menggunakan vaksin ini pada populasi yang lebih luas sebelum kami tunjukkan bahawa ia benar-benar berfungsi dan dapat menghentikan orang ramai dijangkiti koronavirus,” katanya.

Sehingga kini, 1,102 peserta akan direkrut di beberapa tapak kajian di Oxford, Southampton, London dan Bristol mulai minggu depan.

Katanya, setelah dimaklumkan sama ada calon vaksin Covid-19 atau meningitis, mereka akan menjalani kehidupan normal, menulis diari tentang perasaannya atau jika mempunyai sebarang gejala.

Vaksin Covid-19 dianggap sebagai strategi utama untuk menghalang wabak itu daripada terus merebak dan menjadi perlumbaan di antara kebanyakan pakar dan para saintis di seluruh dunia dalam mengembangkan vaksin yang dapat dihasilkan secara besar-besaran.

Imperial College London berharap vaksin ini sedia digunakan pada akhir tahun ini dan juga mendapat lebih banyak sokongan daripada kerajaan.

Para penyelidik berkata bahawa vaksin mungkin tersedia untuk petugas barisan depan dan mereka paling terdedah pada akhir musim sejuk, dengan ujian klinikal bermula pada bulan Jun.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Perubatan England, Profesor Chris Whitty berkata kemungkinan vaksin tersedia pada akhir tahun ini sangat tipis.

Katanya, sehingga vaksin dijumpai, jarak sosial cara paling efektif untuk mengelakkan penyebaran virus.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]