7,000 pelajar Sarawak dijangka pulang berperingkat mulai 1 Mei

Menteri Kanan Infrastruktur Fadillah Yusof berkata, setibanya di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, pelajar Sarawak yang pulang dari semenanjung akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

KUCHING: Seramai 7,000 anak Sarawak yang belajar di semenanjung dan terkandas di sana sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas akan dibawa pulang ke negeri ini secara berperingkat mulai 1 Mei, kata Menteri Kanan Infrastruktur Fadillah Yusof hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan sedang mengumpul maklumat terperinci setiap pelajar daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Pendidikan Guru dan Kolej Mara.

“Maklumat terperinci ini penting untuk kita mengenal pasti di mana pelajar itu belajar, tinggal dan hendak balik ke mana (destinasi di Sarawak),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat khas Covid-19 bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di sini.

Menurut beliau, kumpulan pelajar ini akan dipecahkan kepada 4 zon, melibatkan mereka yang belajar di Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan) akan balik melalui Terengganu; zon tengah (Pahang, sebahagian Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) melalui KLIA; zon selatan dari Johor Bahru, manakala zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian dari Perak) dari Pulau Pinang.

Fadillah yang juga menteri kerja raya berkata, setibanya di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Saya nak maklumkan kepada ibu bapa dan pelajar, dia (pelajar) tidak akan balik terus ke rumah, bila sampai sahaja di destinasi mereka akan dibawa ke tempat kuarantin untuk disaring.

“Sampel akan diambil dan diuji, mereka akan dikuarantin menunggu keputusan. Jika negatif, baru akan dihantar balik ke rumah ataupun berkemungkinan diuji kemudian terus akan dihantar ke rumah untuk kuarantin di rumah,” katanya.

Fadillah berkata, penting bagi pelajar yang akan balik ke kawasan hijau, contohnya di Kapit, betul-betul “bersih” supaya tidak ada virus dibawa ke kawasan tersebut.

“Ini penting untuk menjaga keselamatan anak-anak, keluarga mereka dan masyarakat di kawasan hijau agar terperlihara, tidak akan ada virus yang boleh dibawa ke kawasan tersebut, itu matlamat kerajaan negeri Sarawak,” katanya.