Adun terima laporan awal 1 kes Covid-19, Pasar Taman Megah SS24 ditutup untuk nyahjangkit

Pasar Taman Megah SS24 ditutup sejak 7 pagi untuk kerja-kerja nyahjangkit susulan laporan awal seorang peniaga sayur disyaki positif Covid-19.

PETALING JAYA: Adun Bandar Utama terima laporan awal daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya memaklumkan terdapat 1 kes disyaki positif Covid-19 di kawasannya, melibatkan seorang peniaga sayur di Pasar Taman Megah SS24.

Jamaliah Jamaluddin dihubungi selepas FMT mendapat tahu pasar tersebut ditutup sejak 7 pagi tadi untuk kerja nyahjangkit. Notis memaklumkan perkara itu atas arahan datuk bandar.

“MBPJ sedang melakukan operasi pembersihan dan pembasmian kuman di Pasar Taman Megah,” katanya kepada FMT.

Menurut Jamaliah, individu berkenaan akan menjalani saringan Covid-19, dan peniaga lain juga dinasihatkan untuk menjalani ujian di hospital.

Beliau juga berharap para pengunjung yang selalu berurusan di Pasar Taman Megah menjalani ujian Covid-19 terutama jika ada gejala seperti demam, batuk dan selesa.

“Pada ketika ini, keluarga dan pihak-pihak yang mempunyai kontak dengan mangsa juga sedang dihubungi dan disiasat sekiranya mereka juga perlu menjalani ujian di hospital,” katanya.

Jamaliah memaklumkan perkara ini masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan, yang akan mengeluarkan arahan lanjut sekiranya perlu.

Beliau juga menasihatkan penduduk kawasanya mengurangkan pergerakan tidak perlu bagi membantu usaha kementerian memutuskan rantaian Covid-19.