Korban Covid-19 terus meningkat di India, Rusia

India melanjutkan sekatan pergerakan yang bermula pada 25 Mac bagi menyekat penularan wabak Covid-19 sehingga 3 Mei depan. (Gambar AP)

NEW DELHI: India mencatatkan 45 lagi kematian akibat Covid-19, manakala kes positif bertambah sebanyak 1,554 sejak Sabtu malam, menjadikan jumlah korban setakat ini seramai 824 dan jumlah kes 26,496, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut pegawai Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Ahad, setakat ini 5,804 pesakit dibenarkan discaj.

“Jumlah kes aktif di negara ini buat masa sekarang ialah 19,868.”

Ahad merupakan hari ke-33 India menguatkuasakan kawalan pergerakan untuk mengurangkan rantaian jangkitan.

Sekatan pergerakan yang diumumkan pada 25 Mac lalu dilanjutkan sehingga 3 Mei.

Sementara itu, di Moscow, Rusia wabak Covid-19 sudah meragut 38 lagi nyawa dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban seramai 404 orang, kata pusat tindak balas koronavirus pada Sabtu.

Pada Jumaat, 41 kematian dicatatkan, lapor agensi berita Sputnik.

Keseluruhan 404 pesakit meninggal dunia di Rusia setakat ini.