Malaysia rugi RM2.4 bilion sehari akibat PKP

Kerugian itu akibat penutupan perniagaan susulan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu untuk membendung penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR: Malaysia menganggarkan berdepan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari akibat penutupan perniagaan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Covid-19.

Sejak itu, Putrajaya memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM260 bilion bagi mengelakkan rakyat kehilangan pekerjaan dan memastikan perusahaan kecil dan sederhana dapat terus bertahan, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam wawancara yang disiarkan di televisyen malam tadi.

Sementara itu, kerajaan menggunakan peluang ini untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi digital.

“Disebabkan PKP, impak boleh dikatakan amat besar ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi,” katanya.

Malaysia mula melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu dan melanjutkan sekatan itu buat kali ke-3 sehingga 12 Mei ini.

Kadar jangkitan baru mula menunjukkan penurunan dan Kementerian Kesihatan melaporkan kurang daripada 90 kes baru setiap hari sejak 9 hari lalu.