Menteri nafi JKM hanya beri 3 barangan kepada penduduk di Selayang

Kawat duri dipasang di sekitar flat Taman Sri Murni di Selayang, Kuala Lumpur, yang dikenakan PKPD pada Isnin lalu.

PETALING JAYA: Seorang menteri Kabinet menafikan dakwaan sesetengah penduduk di Selayang, Kuala Lumpur, yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak Isnin lalu, hanya mendapat sebungkus beras 5kg, tepung gandum seberat 850gm dan sebotol minyak masak 2kg Rabu lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun menolak dakwaan mereka dengan berkata, bantuan itu mungkin datang daripada sebuah kumpulan sukarelawan dan bukannya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya dan dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pengagihan sumbangan bantuan daripada persatuan, penderma persendirian dan syarikat swasta.

Beberapa penduduk yang tinggal di flat Taman Sri Murni Fasa 1 berkata, beras bersama minyak masak dan tepung gandum itu ialah satu-satunya bantuan yang diberikan JKM setakat ini.

Tetapi, Rina yang ditunjukkan sekeping gambar 3 barangan keperluan itu memberitahu FMT: “Itu tidak benar. Tiga barangan itu bukan daripada JKM, mungkin ia daripada sebuah NGO.”

Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail memberitahu FMT, bantuan makanan sudah diagihkan 2 kali kepada penduduk dan ia akan dihantar lagi hari ini.

“Kami bekerjasama dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan NGO untuk menyediakan beras, minyak masak dan tepung gandum pada hari pertama (Isnin) dan kami memberikan 6 atau 7 barangan pada Sabtu.

“Saya tahu ia tidak mencukupi, tetapi kami sudah memberikan talian hotline kepada penduduk untuk dihubungi jika mereka memerlukan kami menghantar barang tertentu kepada mereka.”

Flat Taman Sri Murni dan kawasan sekitar di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang serta Pusat Bandar Utara dikenakan PKPD sehingga 3 Mei ini.

Ia adalah kawasan ke-3 di ibu negara yang dikenakan PKPD selepas Menara City One di Jalan Dang Wangi serta Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

Barang keperluan diterima penduduk flat Taman Sri Murni di Selayang yang dikatakan datang daripada JKM.


Kehabisan barang dapur kerana sekatan mendadak

Terdapat lebih 1,700 unit flat di Taman Sri Murni yang dibina dalam 3 fasa.

Beberapa penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap JKM dan kekurangan makanan yang disediakan.

“Kami hanya menerima 3 barangan. Apa yang kami boleh buat dengannya?” soal seorang penduduk bernama Raj.

“Mereka boleh datang dan periksa setiap unit. Kami ada bukti. Mereka kata mereka bekal kepada 1,500 keluarga, tetapi kami di Fasa 1 tidak terima barangan ini.”

Seorang lagi penduduk mendakwa penduduk di Fasa 1 dan 2 tidak menerima jumlah bantuan sama dengan Fasa 3 yang didiami lebih ramai rakyat Malaysia. Sejumlah besar pelarian Rohingya turut tinggal di kawasan itu.

Rabu lalu, Menteri Kanan untuk Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, semua penduduk di kawasan itu, termasuk pelarian Rohingya akan diberikan bantuan makanan.

Bagaimanapun, seorang penduduk di Fasa 1 memberitahu FMT, bantuan itu “tidak berguna” dan jirannya tiada pilihan kecuali memasak bubur dengan 3 barangan yang mereka perolehi.

Ramai penduduk biasanya membeli barang keperluan harian di sebuah kedai runcit berhampiran, tetapi pelaksanaan PKPD pada awal pagi Isnin lalu menyebabkan kebanyakan mereka hanya mempunyai bekalan makanan yang mampu bertahan beberapa hari.

Kumpulan sukarelawan tampil membantu

Nasib baik beberapa NGO dan penderma tampil menyumbang makanan dengan “diet seimbang” kepada penduduk yang mampu bertahan selama seminggu.

“Orang sangat lapar dan kanak-kanak tiada susu tepung. Apabila barangan itu sampai, anda akhirnya nampak semua orang tersenyum,” kata seorang wanita.

“Pihak berkuasa sepatutnya datang ke unit kami dan memberikan nombor telefon serta mencatatkan data isu rumah seperti jumlah orang di setiap unit, berapa ramai kanak-kanak, warga emas atau sakit, dan apa keperluan mereka. Tetapi itu tidak berlaku.”

Katanya, pihak berkuasa hanya menyediakan bekalan makanan kepada penduduk dan menggerakkan unit berkaitan sebaik saja PKPD diumumkan.

Seorang lagi penduduk, Mohd Badri Hamza berkata, ramai keluarga kehabisan susu tepung dan barang keperluan seperti sabun mandi, ubat gigi serta lampin pakai buang.

Beliau juga berharap pihak berkuasa menyediakan kurma kepada umat Islam di kawasan terbabit untuk berbuka puasa ketika Ramadan.

Badri yang tinggal di Fasa 1 berkata, sebuah kedai runcit di seberang jalan dibenarkan beroperasi, tetapi bekalannya terhad.

“Masalahnya ialah ramai yang mahu pergi ke kedai itu, jadi ia sesak dan bahaya. Saya harap polis akan mewujudkan satu kaedah lebih sistematik untuk orang ramai ke kedai itu.”

Beliau mencadangkan pihak berkuasa menubuhkan sebuah kios menjual barang dapur.

Seorang lagi penduduk di Fasa 1 bernama May berkata, pihak berkuasa patut melakukan lebih untuk membantu ibu muda.

Katanya, beliau menemui seorang wanita yang mahu membawa anaknya ke klinik dan cuba menarik perhatian seorang anggota tentera di tempat mengawal, tetapi gagal.

“Beliau memberitahu anaknya diberikan susu ibu dan hanya mempunyai bekalan makanan selama 2 hari. Bagaimana beliau mahu menyusu anaknya selepas itu?” soal May.

Seorang lagi ibu muda meminta keluarganya menyediakan sedikit susu dan bekalan lain, tetapi anggota tentera hanya membenarkan susu diserahkan kepadanya kerana “produk lain mungkin mempunyai kuman”.

“Akhirnya, jiran itu mula bising mengenainya dan kata jika rakyat tidak mati kerana Covid-19, mereka mungkin mati akibat kelaparan, jadi anggota tentera mengalah.

“Satu pengajaran sangat bagus yang saya pelajari ialah tidak mengambil mudah kebebasan. Ini benar-benar menyedarkan saya.”