Pasar Besar Bahau ditutup selepas peniaga disah positif Covid-19

Seorang peniaga di Pasar Besar Bahau disahkan positif Covid-19 pada 24 April dan dipercayai daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pasar Besar Bahau di Negeri Sembilan akan ditutup selama 14 hari bermula esok sehingga 10 Mei depan bagi kerja-kerja pembersihan selepas salah seorang peniaga di pasar berkenaan disahkan positif wabak Covid-19.

Adun Bahau Teo Kok Seong.

Adun Bahau Teo Kok Seong berkata, peniaga dan pekerja di pasar besar berkenaan diminta memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjalani saringan bermula pada jam 8 pagi di Medan Niaga Bahau.

“Bagi orang awam yang pernah berkunjung ke Pasar Besar Bahau, saya ingin nasihatkan jika ada simptom seperti sakit tekak, batuk atau demam, boleh hadir ke Klinik Kesihatan Bahau, di sana petugas kesihatan sudah siapkan satu kaunter khas untuk tujuan pemeriksaan,” katanya dalam sidang video di Facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan turut mengingatkan penduduk di sekitar Bahau tidak panik dengan situasi yang berlaku di kawasan berkenaan.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh dalam kenyataan berkata, seorang peniaga berumur 44 tahun disahkan positif Covid-19 pada 24 April lalu dan dipercayai daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Seramai 60 peniaga di pasar awam itu diwajibkan menjalani ujian saringan di Medan Niaga Bahau bermula 8 pagi esok. Jangan panik, ikut arahan pihak berkuasa dan keadaan di sini adalah terkawal,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan berkata, sehingga 26 April, terdapat 1 kes baru positif Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Respons dan Kesiapsiagaan Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, menjadikan keseluruhan jumlah kes di negeri itu sebanyak 434 kes.

Menurut jabatan itu, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan kepada CPRC JKN Negeri Sembilan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negeri berkenaan kekal 7 kes.

Daripada jumlah tersebut, 142 kes positif Covid-19 adalah dari kluster ijtimak tabligh di Seri Petaling, 53 kes dari kluster Rembau dan kluster Sendayan sebanyak 80 kes dengan 1 kematian.