PKR gantung Afif Bahardin sementara tunggu siasatan Lembaga Disiplin

PKR menggantung keahlian Afif Bahardin mulai 21 Mac lalu.

GEORGE TOWN: Adun Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, PKR menggantung keahliannya sementara menunggu pendengaran Lembaga Disiplin.

Katanya, beliau menerima surat memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa 21 Mac lalu.

Beliau turut memuat naik gambar surat daripada Majlis Pimpinan Pusat parti ke media sosialnya dan berkata surat itu diterima pada Jumaat lalu.

“Ia adalah notis penggantungan tanpa sebarang tuduhan,” tulisnya di Twitter sambil menyifatkan ia sebagai anti-klimaks.

Afif ketika dihubungi FMT malam tadi mengesahkan menerima surat itu daripada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim, tetapi ia tidak menyatakan alasan terhadap penggantungannya.

Beliau juga tidak mengulas lanjut berhubung penggantungan itu.

Afif ialah timbalan ketua PKR Bahagian Permatang Pauh dan Adun Seberang Jaya selama 2 penggal.

Beliau antara beberapa pemimpin parti itu, termasuk bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin, dikatakan terbabit dalam “Langkah Sheraton” yang akhirnya menyebabkan pertukaran kerajaan persekutuan.

Azmin dan Zuraida dipecat PKR pada 24 Februari lalu.

Awal bulan ini, Afif terbabit dalam kontroversi kerana mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan salun dan kedai gunting rambut menyambung operasi ketika perintah kawalan pergerakan memasuki fasa ke-3. Putrajaya kemudiannya menarik balik keputusan itu.