Siapakah etnik Rohingya dan mereka mahu apa?

Sewaktu tempoh pandemik Covid-19 di Malaysia, terdapat kempen kebencian oleh segelintir pengguna media sosial berkenaan pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di Malaysia.

Walaupun sukar untuk mencari punca utama di sebalik kempen ini, faktor-faktor berikut mungkin menjadi pencetusnya:

  • Ketibaan dan penolakan bot yang dinaiki pelarian Rohingya
  • Berita palsu berkenaan seorang individu Rohingya membuat tuntutan kerakyatan dan hak sama rata.
  • Khabar angin berkenaan pelarian Rohingya mendominasi kawasan “Pasar Selayang” yang mengakibatkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Siapakah orang Rohingya?

Etnik Rohingya – mangsa genosid oleh rejim Myanmar mempunyai 4 juta jiwa di seluruh dunia – telah dinafikan hak politik, ekonomi, sosial dan pendidikan oleh rejim Myanmar selama lebih 4 dekad.

Pada masa kini, terdapat lebih 1 juta etnik Rohingya tinggal di kem pelarian penuh sesak di Bangladesh.

Dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan dan maklumat terkini, mereka kurang maklum berkenaan situasi Covid-19 dan perintah berkurung.

Lebih buruk apabila sindiket pemerdagangan manusia memanipulasi keterdesakan ini untuk membawa mereka ke Malaysia.

Walaupun perintah berkurung dijalankan di seluruh dunia ketika ini, kesengsaraan yang menghimpit etnik Rohingya memaksa mereka untuk tiba di perairan Malaysia dengan bot atau di sempadan Thailand-Malaysia.

Etnik Rohingya yang menyelamatkan diri daripada genosid di Myanmar mencari perlindungan di Malaysia. Segelintir kecil daripada mereka mendapat penempatan di negara ketiga, manakala majoriti tinggal di Malaysia selama beberapa tahun atau dekad dengan harapan untuk pulang ke tanah air di Myanmar apabila keadaan menjadi aman serta selamat.

Mereka tidak mempunyai niat untuk tinggal selama-lamanya di Malaysia.

Orang Rohingya mahu apa?

Berita palsu berkenaan Zafar Ahmed Abdul Ghani, yang merupakan presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (Merhrom) meminta kerakyatan dan hak sama rata telah menimbulkan anggapan salah terhadap etnik Rohingya.

Beliau juga telah berkali-kali menafikan fitnah yang tersebar luas di media sosial ini melalui kenyataan yang dikeluarkannya. Tambahan pula, Zafar bukanlah ketua komuniti yang dilantik secara sah bagi mewakili etnik Rohingya di Malaysia.

Pelarian Rohingya di Malaysia tidak pernah menuntut kerakyatan atau apa-apa yang bercanggah dengan undang-undang Malaysia. Mereka hanya memohon perlindungan sementara di sini.

Walaupun tidak menandatangani konvensyen berkenaan pelarian, Malaysia menghormati hak-hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam konvensyen lain yang diratifikasi seperti Convention on the Rights of the Child (CRC) dan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (Cedaw).

Cerita sebenar mengenai Pasar Selayang

Di samping itu, terdapat kerisauan oleh rakyat Malaysia bahawa kawasan “Pasar Selayang” dan sekitarnya didominasi serta dikawal oleh pelarian Rohingya. Mereka juga dikatakan melanggar perintah kawalan pergerakan yang ditetapkan. Keadaan ini sama sekali tidak benar.

Hakikatnya, hanya segelintir daripada komuniti migran dan pelarian yang bekerja di kawasan tersebut merupakan etnik Rohingya, bukannya majoriti.

Bukan semua komuniti Muslim dari Myanmar merupakan orang Rohingya.

Tambahan pula, golongan pelarian di kawasan Selayang bukanlah pemilik atau ejen yang memiliki perniagaan sendiri. Mereka hanyalah pekerja yang makan gaji secara harian ataupun bulanan.

Kajian secara terperinci boleh mengesahkan perkara ini.

Tiada sesiapa pun mengatasi undang-undang, termasuklah pelarian Rohingya. Mana-mana individu, termasuk etnik Rohingya, yang didapati melanggar undang-undang tidak kebal daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Berbeza dengan tanggapan salah yang tersebar luas di media sosial dan media arus perdana, pelarian Rohingya di Malaysia serta mereka yang sudah ditempatkan di negara ketiga sentiasa berterima kasih kepada rakyat dan kerajaan Malaysia atas keprihatinan yang ditunjukkan.

Kebajikan sosio-ekonomi golongan pelarian Rohingya sentiasa diambil berat di sini.

Rakyat dan kerajaan Malaysia sentiasa menunjukkan keprihatinan dan solidariti yang tinggi terhadap golongan pelarian, termasuklah etnik Rohingya. Kami berharap agar keprihatinan berdasarkan sifat peri kemanusiaan ini berkekalan.

Semoga Allah memberkati bumi bertuah Malaysia!

Rayuan kepada kerajaan dan media Malaysia

Kami memohon jasa baik kerajaan Malaysia supaya terus prihatin terhadap nasib etnik Rohingya yang menjadi mangsa genosid dengan membenarkan kami mendapatkan perlindungan dan bantuan kemanusiaan di negara ini.

Kami menggesa pihak media tempatan dan antarabangsa supaya melaporkan fakta yang sahih sahaja. Kesilapan dalam melaporkan berita oleh pihak media boleh mengancam nyawa mangsa genosid dan menjejaskan nasib pelarian di sini.

Akhir kata, kami berdoa dan bersolidariti bersama rakyat Malaysia dalam menangani krisis pandemik Covid-19.

Terima kasih Malaysia! Semoga Allah merahmatimu dalam bulan Ramadan yang mulia ini!

Sharifah Shakirah dan Sujauddin Karimuddin masing-masing mewakili Jaringan Pembangunan Wanita Rohingya (RWDN) dan Penghakupayaan Elom (Elom Empowerment), 2 pertubuhan yang berusaha memperkuat dan membangunkan komuniti Rohingya.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.