Singapura sedia lebih banyak ruang rawatan untuk pesakit Covid-19

Pasangan yang memakai topeng berjalan melintasi arca Merlion di Singapura bulan lalu. (Gambar AP)

SINGAPURA: Singapura sedang giat membangunkan ruang katil untuk pesakit koronavirus di dewan pameran dan kemudahan sementara lain ketika republik itu berdepan peningkatan kes, terutama dalam kalangan komuniti pekerja warga asing bergaji rendah.

Republik yang memiliki 5.7 juta penduduk mencatat lebih 12,000 kes positif Covid-19, antara yang paling tinggi di Asia, disebabkan penularan di asrama sesak yang menempatkan lebih 300,000 pekerja, terutama dari Asia Selatan.

Satu daripada fasiliti itu adalah di Pusat Pameran Changi – tempat Singapore Airshow dianjurkan, perhimpunan aeroangkasa terbesar di Asia – dijangka menempatkan lebih 4,000 pesakit yang pulih dan mengalami gejala ringan.

“Proses membangunkan infrastruktur itu mengambil masa 6 hari,” kata Joseph Tan, anggota jawatankuasa penganjur untuk kemudahan sementara itu, kepada Reuters dalam satu lawatan.

Pesakit terawal, terutama dari Bangladesh dan India, dipindahkan pada Sabtu ke dewan persidangan yang luas, dibahagikan kepada bilik yang mampu memuatkan 8 hingga 10 orang, dengan katil besi, laci simpanan plastik dan kipas.

Singapura berada di belakang China, India, Jepun dan Pakistan membabitkan jumlah jangkitan koronavirus di Asia.

Lebih 10,000 orang yang dijangkiti, dan 80% daripada jumlah itu, adalah pekerja asing, yang kebanyakannya ditempatkan di “kemudahan pengasingan” bagi mereka yang mengalami gejala ringan seperti di pusat persidangan.

Meskipun memiliki jumlah kes yang tinggi, Singapura melaporkan 12 kematian dan 24 pesakit berada dalam rawatan intensif.

Buruh warga asing Singapura, memperoleh hanya AS$15 (RM65.39) sehari, tinggal di asrama di kawasan yang jarang dikunjungi pelancong di republik itu.

Kebanyakan mereka berada di kuarantin berikutan penularan besar-besaran, dengan pekerja di situ berperang dengan kebimbangan dijangkiti virus berkenaan.

Di pusat pengasingan baru di Changi, setiap bilik mempunyai alat tekanan darah dan peralatan perubatan lain bagi memudahkan pesakit melakukan pemeriksaan kesihatan sendiri 3 kali sehari, sementara robot kawalan jauh menyediakan makanan dan perkhidmatan telesidang untuk mengurangkan kontak.

Pihak berkuasa turut menguji anjing robot berkaki 4 yang dibangunkan oleh Boston Dynamics di fasiliti itu, yang dikatakan boleh digunakan untuk menghantar ubat kepada pesakit atau mengambil suhu badan mereka.

Ruang dalaman itu boleh memuatkan 2,700 pesakit, sementara ruang luar tambahan akan menempatkan 1,700 katil lagi. Pusat persidangan berhampiran yang dipanggil Expo sudah menempatkan ratusan pesakit Covid-19.

Kira-kira 10,000 pekerja sihat dalam perkhidmatan penting dipindahkan dari asrama ke perumahan alternatif, termasuk kem tentera, dewan sukan yang ditukar dan kapal penginapan untuk pekerja luar pesisir, kata pihak berkuasa.

Deretan pondok putih juga dipasang dengan tergesa-gesa di pelabuhan Tanjong Pagar. Kemudahan itu boleh menempatkan sehingga 15,000 pekerja asing, lapor media tempatan, tetapi pihak berkuasa belum memutuskan bagaimana ia akan digunakan.

“Kami terus mencari ruang tambahan untuk pelbagai sebab, termasuk kemudahan untuk kes yang disyaki atau pekerja yang dijangkiti, dan juga untuk pekerja yang pulih atau yang telah pulih sepenuhnya,” kata seorang jurucakap Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan menerusi e-mail, sambil menambah kawasan Tanjong Pagar adalah sebahagian daripada rancangan itu.