Stesen radio siar wawancara serangan NGO ke atas etnik Rohingya

Pengasas dan pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysian dalam wawancara dengan Bernama Radio pada Khamis. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kecaman bertali arus terhadap pelarian Rohingya semakin memuncak selepas satu wawancara disiarkan oleh saluran radio Bernama menyifatkan etnik itu sebagai pengotor dan pembawa masalah.

Ini merupakan serangan terbaru terhadap golongan itu yang terpaksa melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar dengan menjadi pelarian di beberapa negara Asia Tenggara .

Dalam satu wawancara yang disiarkan di Facebook baru-baru ini, Halim Ishak, pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) berkata, kerajaan Malaysia tidak perlu memainkan peranan dalam membantu golongan itu.

Menurutnya, pelarian Rohingnya bukanlah daripada kategori pelarian perang, tetapi merupakan pendatang tanpa izin.

“Kenapa mereka ada keistimewaan dibandingkan dengan (pelarian) yang lain?” soalnya.

Selain itu beliau berkata, terdapat petisyen yang akan diusulkan olehnya dan rakan-rakan untuk menghantar etnik itu ke negara ke-3 dan kem pelarian Cox Bazaar di Bangladesh.

“Ini kerana terlalu banyak rungutan dan perasaan marah daripada rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa sebagai sebuah negara yang berdaulat Malaysia perlu mempertahankan keselamatan dan keamanannya.

Katanya, daripada pemerhatian beliau di pasar borong Selayang, etnik Rohingya mempunyai masalah kebersihan dan adab santun.

“Sebagai bekas komando, kita berjumpa dengan Orang Asli, mereka lebih baik daripada Rohingya,” katanya, selain menambah bahawa dalam jangka panjang, kehadiran orang Rohingya boleh membawa kepada “penjajahan” baru.

Halim berkata, beliau berasa marah dengan kenyataan yang dikaitkan dengan Zafar Ahmad Abdul Ghani, pengerusi Pertubuhan Hak Asasi Rohingya di Malaysia (Merhrom) yang dikatakan menuntut kewarganegaraan dan hak sama.

Zafar bagaimanapun dilaporkan menafikan beliau pernah membuat tuntutan seperti itu, tetapi memberitahu berita palsu itu sudah pun menimbulkan ancaman terhadapnya.

Halim berkata, “kesabaran rakyat Malaysia ada hadnya, dan kita tidak mahu mereka turun ke jalan raya”.

Beliau juga mencabar mereka yang mengkritik tentangan terhadap komuniti Rohingya sebagai kejam dan sepatutnya “mengambil “sebahagian daripada mereka dan menjaga mereka”.

Beliau turut mengkritik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dengan berkata, agensi itu tidak berkesan dalam menyelesaikan kemelut melibatkan pelarian.

“Saya tak nampak peranan UNHCR, kecuali keluarkan kad (UNHCR). Lepas tu, timbulkan masalah kepada penjawat awam, maksud saya penguat kuasa.”

Bernama Radio adalah stesen radio berita yang dikendalikan agensi berita nasional, Bernama.

Dalam pada itu, presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tuduhan yang mengatakan etnik itu tidak beradab perlu diasaskan dengan bukti.

“Kalau tuduh tanpa bukti khusus, itu satu fitnah yang menganiayai orang yang dizalimi. Mereka datang bukan ada kemudahan, terpaksa melarikan diri.

“Nak tuduh Rohingya macam tu sangat tak bertanggungjawab dan tak adil,” katanya kepada FMT.