Tanpa vaksin dalam masa terdekat, tumpu pencegahan, kata MMA

MMA berkata, tempoh sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan diperlukan sebelum program pemvaksinan besar-besaran terhadap Covid-19 boleh dijalankan.

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak harapan bahawa vaksin terhadap Covid-19 boleh dihasilkan dalam masa terdekat.

Presidennya Dr N Ganabaskaran berkata, tempoh sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan diperlukan sebelum produk untuk program pemvaksinan besar-besaran boleh dihasilkan.

“Malah garis masa itu pun boleh dianggap optimistic. Dalam keadaan biasa, ia akan mengambil masa beberapa tahun,” katanya kepada FMT.

Semasa wabak SARS dari 2000 hingga 2003, penyelidik perubahan mengambil masa 20 bulan bagi menghasilkan vaksin untuk ujian ke atas manusia.

Pada masa itu, wabak tersebut telah berjaya dikawal menerusi langkah kesihatan awam.

Ganabaskaran berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membangunkan 3 lagi vaksin awal Covid-19 untuk ujian ke atas manusia.

“Baru-baru ini WHO menambah 3 lagi calon kepada senarai vaksin semasanya untuk ujian ke atas manusia, menjadikan jumlah 6 vaksin. Enam vaksin ini dimajukan dengan segera untuk ujian ke atas manusia.

“Kerajaan kita juga mengesahkan bahawa ia kini berunding dengan 2 syarikat dari China dan negara lain yang membangunkan vaksin terhadap Covid-19 supaya mengadakan ujian klinikal di Malaysia. Kami percaya mereka masih di peringkat rundingan,” katanya.

Dr N Ganabaskaran

Beliau berkata, pembangunan vaksin mengambil masa lama kerana terdapat banyak fasa ujian yang mesti dilalui.

“Kami difahamkan bahawa sebilangan ujian klinikal yang dijalankan sekarang hanyalah di fasa 1 atau 2, yang bertujuan menilai sama ada ia selamat dan berkesan untuk manusia.

“Selepas itu, proses ujian klinikal mempunyai 3 peringkat lagi, iaitu fasa 3 iaitu semakan peraturan dan fasa 4,” katanya.

Ganabaskaran berkata, pada masa ini kerajaan perlu memberi perhatian kepada langkah pencegahan kerana tidak ada petunjuk bahawa vaksin untuk Covid-19 boleh dihasilkan segera.

“Memastikan bekalan berterusan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan pematuhan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan langkah lain yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hendaklah menjadi keutamaan kita sekarang,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan keputusan untuk melanjutkan PKP kerana penamatan terlalu awal boleh menyebabkan berlakunya “relaps” seperti yang terjadi di Hokkaido, Jepun.

Pada Jumaat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama-sama beberapa orang pemimpin dunia menggesa dijalankan kolaborasi sejagat bagi mempercepatkan usaha menghasilkan vaksin Covid-19.

Beliau menawarkan sokongan penuh Malaysia kepada kolaborasi tersebut.

“Malaysia komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini dan mengambil langkah dalam pengeluaran sebahagian daripada peralatan dan vaksin terbabit apabila ia dihasilkan,” katanya.