Wakil rakyat dakwa Ipoh Barat belum terima bakul makanan, bantuan disalur ke bahagian parti

PETALING JAYA: Wakil rakyat Ipoh Barat menyeru Menteri Wanita dan Keluarga, Rina Harun berterus terang mengenai pengedaran bantuan makanan untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), mengatakan kawasannya belum terima 1,000 bakul makanan daripada kementerian untuk diedarkan kepada ketua keluarga kumpulan itu.

“Kita sedang dalam fasa ke-4 perintah kawalan pergerakan tetapi kami belum terima apa-apa,” kata Ahli Parlimen M Kula Segaran dalam kenyataan hari ini.

Kula berkata terdapat 1,500 keluarga memohon bantuan dan pihaknya berjaya menghubungi lebih 200 keluarga, di samping menaja 3 badan bukan kerajaan yang bekerja keras untuk mengedarkan makanan kepada 1,500 orang setiap hari.

Pasukannya cuba sedaya upaya meredakan keadaan di Ipoh Barat, namun tanpa sumber dan tenaga manusia daripada kerajaan dan kementerian Rina, banyak keluarga dan anak-anak yang akan tidur kelaparan semasa tempoh sukar ini.

Katanya, pasukannya tiada kekuatan kewangan untuk menghubungi semua keluarga B40 di kawasan bandar yang besar seperti Ipoh Barat, dengan penduduk hampir 200,000.

“Untuk sekali ini, saya minta kita semua ketepikan hubungan politik kita buat seketika,” katanya, dan menambah pihaknya ada bertanyakan ke mana barang makanan diedarkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di daerah Kinta.

“Jawapannya menyedihkan dan menghampakan: Bantuan makanan diedarkan kepada Umno, PAS, dan PPBM bahagian,” dakwanya.

Menyeru menteri supaya mematuhi garis panduan bantuan makanan yang disediakan kementerian, Kula mengingatkan pentadbiran Najib Razak pada 2017 membantu Pulau Pinang apabila ia dilanda banjir dan ribuan orang mencari perlindungan di tempat lain.

Pulau Pinang ketika itu ditadbir Pakatan Harapan.