100 peniaga, pekerja Pasar Awam Bahau jalani saringan Covid-19

Peniaga dan pekerja beratur untuk mendapatkan pemeriksaan saringan Covid-19 yang dijalankan oleh KKM. (Gambar Bernama)

JEMPOL: Dianggarkan 100 peniaga dan pekerja Pasar Awam Bahau, menjalani saringan Covid-19 secara temu bual, selepas seorang peniaga di pasar itu didapati positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata hasil saringan itu, individu yang didapati kontak rapat dengan pesakit berkenaan akan dihantar ke Klinik Kesihatan (KK) Bahau untuk menjalani ujian swab Covid-19.

“Saringan secara temu bual itu diadakan di Medan Niaga Bahau pada 8 pagi tadi, mereka yang dikenal pasti merupakan kontak rapat dengan pesakit yang positif, akan dihantar ke KK Bahau untuk jalani ujian swab seterusnya dihantar ke pusat kuarantin untuk jalani kuarantin selama 14 hari,” katanya menerusi siaran langsung akaun Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Teo, yang juga merupakan Adun Bahau berkata selain penutupan Pasar Awam Bahau, Medan Niaga Bahau, pasar ayam dan kedai-kedai berhampiran Pasar Awam Bahau juga akan ditutup selama 14 hari berkuat kuasa pada Rabu, atas nasihat Pejabat Kesihatan.

Selain itu, Teo berkata peniaga di luar kawasan pasar juga tidak dibenarkan mengambil bekalan sayuran atau lain-lain dari Pasar Borong Selayang.

“Pemborong atau peniaga di luar kawasan Pasar Awam Bahau boleh dapatkan bekalan dari sumber lain,” katanya.

Semalam, media melaporkan Pasar Awam Bahau ditutup selama 14 hari selepas seorang peniaganya disahkan positif Covid-19.