12 pulang dari luar negara positif Covid-19 di Sarawak

Mereka yang pulang ke Sarawak dari luar negara atau dari negeri lain di Malaysia dikehendaki menjalani perintah kuarantin 14 hari. (Gambar Bernama)

KUCHING: 12 individu yang dikuarantin di beberapa buah hotel di sini selepas pulang dari luar negara didapati positif Covid-19, kata jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Lapan daripada mereka pulang dari Temboro dan seorang dari Badau di Indonesia, dan masing-masing 1 dari Kuala Lumpur, Singapura dan Amerika Syarikat.

Pengerusi jawatankuasa itu, Douglas Uggah Embas berkata, jika mereka tidak dikuarantin, besar kemungkinan mereka akan menyebarkan virus itu kepada orang lain dan mengakibatkan kesan serius.

Beliau berkata, semua rakyat Sarawak, termasuk pelajar yang pulang dari luar negara atau semenanjung, Sabah dan Labuan akan ditempatkan di pusat kuarantin selama 14 hari.

“Ujian akan dijalankan pada hari ke-10 dan mereka akan hanya dibenar pulang sekiranya keputusan ujian negatif, katanya pada sidang media hari ini.

Uggah berkata, individu yang pernah dikuarantin sebelum pulang ke Sarawak masih perlu menjalani kuarantin 14 hari di sini sekirantya destinasi mereka dikategorikan sebagai zon hijau (iaitu kawasan tanpa kes aktif Covid-19).

Individu yang destinasi akhir mereka dikategorikan sebagai zon merah dan pernah melalui kuarantin sebelum pulang ke Sarawak akan diberikan gelang tangan dengan notis “duduk di rumah”.

Dalam perkembangan sama, Sarawak mencatatkan 3 kes baru Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 488 kes.

Dua kes melibatkan petugas kesihatan di Kuching, menjadikan bilangan petugas kesihatan disahkan positif seramai 52 orang.

Angkah kematian akibat virus itu di negeri ini kekal 16 kes.