Kawalan ketat pusat tahfiz, rumah di Sungai Lui disambung hingga 5 Mei

PKPD di Sungai Lui kecuali pusat tahfiz dan rumah berkenaan ditarik balik pada 14 Apr.

PUTRAJAYA: Perintah kawalan pergerakan diperketatkan ke atas pusat tahfiz dan sebuah rumah di Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor disambung 1 minggu lagi sehingga 5 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata demikian pada sidang media hari ini.

Kawalan ketat ke atas Sungai Lui, yang melibatkan 7 penempatan, dari Batu 21 hingga Batu 24, diumumkan pada 29 Mac lepas susulan 71 kes positif Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di Batu 23.

PKPD bagi seluruh kawasan terbabit kecuali pusat tahfiz dan rumah berkenaan ditarik balik pada 14 Apr.

Sementara itu, Ismail juga mengumumkan kawalan ketat di 2 kampung di Simpang Renggam di Kluang, Johor akan tamat esok.

Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, yang kawalan ketat bermula 26 Mac, merupakan kawasan pertama dikenakan PKPD susulan 61 kes daripada 83 kes positif Covid-19 di Kluang dari situ.