Laman FB ‘Bersatu’ didakwa fitnah duta Malaysia wakili badan Rohingya di UK

Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi ialah duta Majlis Rohingya Eropah ke Malaysia. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Wakil Malaysia bagi sebuah pertubuhan berpangkalan di London yang memperjuangkan hak Rohingya menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada beberapa pengendali Facebook Malaysia berhubung serangan peribadi menerusi catatan xenofobia baru-baru ini yang menyasarkan komuniti pelarian itu.

Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi, duta Majlis Rohingya Eropah ke Malaysia, menyenaraikan 4 laman Facebook, termasuk Bersatu.tv, sebuah laman video yang dipercayai ada kaitan dengan ahli PPBM, berkata mereka membuat dakwaan palsu terhadapnya dan mendedahkan butiran peribadinya.

Tidak jelas jika laman itu diluluskan secara rasmi oleh PPBM, yang kini berpecah belah antara penyokong Presidennya, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.

Tiga laman Facebook lain dimiliki Web Schneider, Ammar Daniel bersama Abu Hanzal serta akaun bernama “32 Juta Rakyat Malaysia Tolak Rohingya”.

Tengku Emma berkata, sesetengah catatan itu turut mendedahkan butiran peribadinya, termasuk nombor pendaftaran keretanya dan satu tangkap layar hasil pemeriksaan ke atas kelayakannya untuk menerima bantuan kewangan di bawah pakej rangsangan ekonomi Prihatin.

Katanya, laman terbabit membuat dakwaan palsu beliau terbabit dalam konspirasi untuk mendakwa kerajaan Malaysia bertindak kejam terhadap komuniti Rohingya, selepas beliau mempersoalkan tindakan menolak bot membawa pelarian Rohingya yang terkandas di laut.

Katanya, dakwaan itu turut menimbulkan kebencian dan kebimbangan “dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap seorang rakyat Malaysia”.

“Sebaliknya, beliau menyeru kerajaan Malaysia mempertimbangkan semula tindakan pihak keselamatan negara di perairan dan daratan menghalau mereka (pelarian) ke laut dan mencari serta menyelamatkan mereka,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Catatan di laman Facebook itu menyusul komen xenofobia atas talian semakin meningkat yang menyasarkan pelarian Rohingya di Malaysia, yang dikritik pemimpin agama dan aktivis hak asasi.

Sementara itu, majlis berkenaan memberi 7 hari kepada pengendali laman Facebook terbabit untuk memadamkan catatan mereka dan membayar ganti rugi sama dengan jumlah “likes” dalam catatan mereka, yang berjumlah RM144,808.