Lanjutan PKP jejas pesakit kanser di hospital kerajaan, kata badan pemikir

Putrajaya digesa memberi jaminan kepada pesakit kanser dan mengambil langkah bagi memastikan kualiti rawatan mereka tidak terganggu berikutan krisis Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir hari ini memberi amaran bahawa pesakit kanser, terutama mereka yang menerima rawatan di hospital kerajaan, paling terkesan dengan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, penyusunan semula sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta serta 2 lanjutan PKP sebelum ini memberi kesan negatif kepada pesakit kanser.

“Keadaan pesakit mungkin bertambah buruk akibat rawatan dan penjagaan ditunda berikutan PKP yang berpanjangan atau jangkitan Covid-19,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib.

“Kita sudah menyaksikan kesan tidak langsung krisis Covid-19 terhadap rawatan kanser. Dengan keadaan tidak menentu yang berterusan berikutan sekatan pergerakan yang kini masuk bulan ke-2, ramai pesakit berdepan masalah dengan rujukan dan penjadualan semula rawatan serta pembedahan.”

Dalam satu kenyataan beliau berkata, bukti menunjukkan pesakit kanser yang menjalani rawatan di hospital awam dialihkan di kemudahan kesihatan lain kerana tidak mudah untuk meneruskan rawatan yang terganggu.

Beliau berkata sesetengah pesakit tidak mendapat pengesahan sama ada dan bila rawatan mereka akan tersedia di lokasi baru.

“Yang lain, yang dialihkan ke hospital swasta berkata, mereka tidak dapat menjalani pembedahan kerana masalah kewangan.

“Garis panduan kerajaan juga ketika ini mewajibkan semua pesakit yang akan dibedah disaring untuk Covid-19, turut meningkatkan kos prosedur.”

Walaupun selepas PKP berakhir katanya, masalah seperti itu akan berterusan berikutan pesakit baru yang akan dibedah akan ditolak berikutan kes yang tertangguh.

Beliau menggesa Putrajaya supaya memberi jaminan kepada pesakit dan mengambil langkah bagi memastikan kualiti rawatan mereka tidak terganggu berikutan krisis Covid-19.

“Hasil Laporan Pendaftaran Kanser Nasional Malaysia 2012-2016 yang dikeluarkan pada Januari lalu menunjukkan hakikat yang membimbangkan, iaitu ramai rakyat Malaysia didiagnosis dan terlewat untuk mendapatkan rawatan,” katanya, selain menambah diagnosis kanser yang lewat mengakibatkan peluang hidupmenjadi tipis.