Lebih 800 pelajar terkandas pulang ke utara malam ini

Penghantaran pelajar yang terkandas dari zon tengah Semenanjung ke zon utara akan bermula malam ini.

PUTRAJAYA: Seramai 863 pelajar yang terkandas di kampus pusat pengajian di zon tengah Semenanjung akan dihantar pulang ke zon utara malam ini.

Keesokannya 265 pelajar dari zon utara Semenanjung akan dihantar pulang ke zon tengah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata penghantaran pulang ini melibatkan 9 universiti dan 49 bas ke 17 destinasi.

“Bas akan disanitasi 3 jam sebelum bertolak ke destinasi. Bagasi yang dibawa pelajar yang terbabit juga akan disanitasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Makanan para pelajar terbabit ditaja syarikat swasta, tambahnya.

“Setibanya pelajar di ‘drop-off point’, hanya 1 ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar tersebut.

“Bagi mereka yang tiada kenderaan, pihak barisan depan akan menghantar pelajar ke rumah masing-masing,” katanya.

Ismail berkata bas dijangka sampai ke “drop-off point” sekitar 9 pagi.

Sementara itu, penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah akan bermula 1 Mei.

Mereka yang berada di Terengganu dan Kelantan akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, di zon tengah termasuk Pahang akan diterbangkan dari KLIA di Sepang, di zon utara akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, manakala di zon selatan akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru.

“Mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung halaman,” katanya.

SOP pulang dari kampung

Mengenai isu rakyat yang terkandas di kampung dan mahu pulang ke rumah, Ismail memaklumkan belum ada perbincangan mengenai tatacara operasi standard.

Beliau berkata perbincangan akan diadakan selepas 1 Mei.

“Kita akan keluarkan SOP dan memutuskan sama ada boleh balik atau tidak,” katanya, dan menambah polis akan mengeluarkan jawapan kepada soalan kerap ditanya.