Menteri hairan kenapa pelarian Rohingya jadi isu

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa hairan berhubung kedatangan pelarian Rohingya yang menjadi isu di negara ini.

Katanya, kedatangan etnik tersebut bukan perkara baru dan keterbukaan kerajaan menerima mereka atas dasar kemanusiaan kerana ditindas di negara sendiri.

“Saya pun hairan kedatangan Rohingya ke negara kita bukan baru semalam, tapi bertahun sebelum ini dan sebelum ini tidak timbul tentang isu Rohingya ini kerana kedatangan mereka ketika itu mendapat simpati daripada kita, kerana kita dengar mereka dibunuh dengan kejam, dibakar hidup-hidup menyebabkan kita sebagai sebuah negara menerima mereka waktu itu.

“Tapi akhir-akhir ini ketika PKP, terlalu banyak berita-berita melalui media sosial mengenai video dan sebagainya dikeluarkan melibatkan Rohingya menimbulkan kemarahan rakyat kepada mereka,” katanya semasa sidang media di Putrajaya.

Beliau diminta mengulas kemarahan rakyat terhadap pelarian Rohingya menerusi media sosial.

Ia dipercayai susulan video dan laporan yang mendakwa pelarian Rohingya menuntut hak sama rata di Malaysia termasuk menuntut taraf kewarganegaraan.

Ismail berkata, polis sedang menyiasat video, audio dan laporan yang tersebar di media sosial.

“Polis sedang menyiasat perkara ini sebab ada juga menganggap setengah video, audio adalah palsu, bagaimanapun tidak ada sesiapa yang dapat menentukan kesahihannya kecuali polis, jadi kita serah kepada polis melakukan siasatan berkaitan Rohingya,” katanya.

Beliau menasihatkan rakyat supaya bertenang dan tidak menimbulkan suasana tegang sementara polis selesai melakukan siasatan.

“Malaysia sebuah negara aman dan kita terkenal sebagai negara yang sangat bertimbang rasa kepada sesiapa sahaja yang berada di bumi Malaysia,” katanya.

Pada 16 April lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia menyekat sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara.

Sehari sebelum itu, 60 etnik Rohingya dilaporkan maut dalam bot yang sarat dengan ratusan pelarian Rohingya selepas pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menghalang kemasukan mereka.

Isu tersebut semakin hangat apabila ramai pengguna media sosial menuduh masyarakat Rohingya terlalu melampau membuat tuntutan terhadap kerajaan termasuk mengiktiraf kerakyatan susulan keberadaan mereka di Malaysia.

Ia sehingga membawa kepada satu petisyen menerusi change.org untuk membantah tuntutan Merhrom di mana sehingga kini mendapat lebih 25,000 tandatangan.

Keganasan etnik dan agama di Myanmar terhadap Rohingya Islam, yang dianggap minoriti paling tertindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menyebabkan ratusan ribu melarikan diri ke negara jiran.

Dianggarkan 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia, tetapi mereka dinafikan pekerjaan sah kerana kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian.