New York mungkin buka semula sektor pembuatan, binaan selepas 15 Mei

Sebuah kereta peronda polis New York mengingatkan penduduk untuk mengamalkan penjarakan sosial di Pantai Brighton pada Sabtu. (Gambar AP)

NEW YORK: New York yang melaksanakan penutupan perniagaan untuk menghentikan penularan Covid-19, mungkin membuka semula sektor pembuatan dan pembinaan selepas 15 Mei ini, kata Gabenor Andrew Cuomo pada Ahad.

Tetapi, katanya, sebarang kelonggaran akan dilakukan di utara negeri itu terlebih dahulu, bukannya di metropolitan New York City yang merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat Covid-19 di Amerika Syarikat.

“Kawasan yang kemungkinan besar boleh dibuka dalam masa terdekat ialah bahagian utara. New York akan menjadi lebih rumit.”

Katanya, sebarang potensi membuka semula New York City, bandar yang paling ramai penduduk di AS itu, mungkin memerlukan penyelarasn dengan pihak berkuasa di bandar bersebelahan New Jersey dan Connecticut.

Cuomo sebelum ini mengarahkan sekatan ketat di New York yang akan berakhir 15 Mei ini. Sektor pertama yang berada di bawah perancangan pembukaan semula ialah pembinaan dan pembuatan.

Cuomo meminta penangguhan selama 2 minggu sebelum pembukaan semula tahap seterusnya, yang akan termasuk kebanyakan pejabat, bagi memastikan fasa pertama tidak menyebabkan kemunculan semula Covid-19.

Beliau menekankan sebarang keputusan muktamad bergantung kepada penurunan kes jangkitan Covid-19 antara sekarang hingga 15 Mei ini.

Negeri itu pada Ahad mencatatkan 367 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, angka korban terendah sejak 30 Mac yang merekodkan 332 kematian.

Covid-19 mengorbankan 16,966 orang di New York yang terdiri daripada 1/3 jumlah kematian di seluruh AS.

Untuk buka semula, perniagaan perlu mengemukakan rancangan sanitasi bagi mengurangkan risiko jangkitan virus kepada pihak berkuasa New York.

Cuomo berkata, pembukaan semula perniagaan seperti dahulu tidak boleh dilaksanakan sehingga sekolah dibuka semula yang membolehkan ibu bapa bekerja di luar rumah.

New York belum memutuskan pembukaan semula sistem pendidikan, walaupun Datuk Bandar Bill de Blasio dilapor mempertimbangkan baki sesi persekolahan untuk tahun ini dibatalkan di bandar itu.

Cuomo berkata, sesetengah daerah sedang mengkaji jika mahu mengadakan sesi persekolahan musim panas untuk mengisi masa yang terbuang.