Peguam negara nafi gagal keluar garis panduan sepanjang PKP

Sekumpulan lelaki yang dituduh melanggar PKP dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan sebuah persatuan hak asasi bahawa jabatan itu gagal mengemukakan sebarang garis panduan kepada timbalan pendakwa raya bagi memastikan keseragaman dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peguam Negara Idrus Harun berkata, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) menyiarkan tanggapan yang salah dalam rencana bertajuk “The Attorney General must rein in prosecutors” yang di laman webnya pada 9 April.

Edict mendakwa Pejabat Peguam Negara gagal mengemukakan sebarang garis panduan kepada timbalan pendakwa raya sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata garis panduan dan arahan sentiasa dikemukakan dari semasa ke semasa kepada timbalan pendakwa raya yang turut tertakluk kepada kod etika.

“Penyeliaan kes berkaitan pelanggaran PKP dilakukan setiap hari oleh ketua bahagian pendakwaan dan timbalan ketua bahagian pendakwaan. Timbalan pendakwa raya juga dikehendaki menghantar laporan kes berkenaan setiap hari kepada peguam negara.

“Timbalan pendakwa raya diberikan garis panduan, terutama dalam masa yang sukar ini, bagi memastikan pentadbiran undang-undang dilaksanakan dengan teratur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Idrus berkata, timbalan pendakwa raya, polis dan mahkamah sentiasa bekerja keras dalam keadaan yang baru ini di samping mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan.

Beliau berkata timbalan pendakwa raya turut diingatkan supaya lebih peka terhadap kes membabitkan pelaku juvana bagi memastikan mereka tidak direman kecuali dalam kes yang tidak dapat dielakkan dan diberi semua hak dalam Akta Kanak-Kanak.

Namun katanya, sesetengah perkara seperti reman dan hukuman, bukan dalam bidang kuasa peguam negara.

“Edict dilihat telah membuat tanggapan yang salah di mana hanya kerana ia tidak melihat sebarang arahan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh peguam negara, maka arahan atau garis panduan tersebut tidak wujud.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.

Idrus berkata Jabatan Peguam Negara, sebagai sebuah institusi awam, mengalu-alukan kritikan terhadap tindakannya tetapi tertakluk kepada kritikan membina dan berdasarkan fakta yang kukuh.

Edict dalam rencana yang disiarkan di laman webnya menyentuh mengenai kes pembantu kedai berusia 20 tahun dari Kedah yang dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan kerana memuat naik kenyataan jelik mengenai operasi polis ketika Covid-19 di media sosial.

Ia berkata ketua hakim negara dan jabatan penjara segera mengeluarkan arahan mengenai kes yang berkaitan dengan PKP, sementara tidak ada maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara.