Pemimpin PAS pertahan pelarian Rohingya daripada kecaman rakyat

AJK PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor tidak menafikan pelarian Rohingya mempunyai sisi gelap dan negatif, tetapi rakyat perlu berpada-pada dalam menghukum etnik itu. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Beberapa pemimpin tertinggi PAS mengingatkan agenda memburuk-burukkan pelarian Rohingya dikhuatiri akan mencetuskan krisis kemanusiaan dan menjejaskan kestabilan di rantau Asean.

Ini susulan komen xenofibia dan serangan bertali arus oleh rakyat Malaysia yang mengkritik serta mengecam pelarian Rohingya, selepas pihak berkuasa menghalang 2 bot membawa etnik itu daripada memasuki perairan negara lebih seminggu lalu.

Serangan itu dipercayai berpunca daripada berita palsu mendakwa Rohingya menuntut hak sama rata dan kerakyatan Malaysia, tetapi Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani menafikan beliau pernah membuat tuntutan itu.

Disebabkan tuduhan palsu itu, katanya, beliau dikecam dan mendapat ugutan bunuh melalui telefon, WhatsApp serta Facebook.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor tidak menafikan etnik Rohingya mempunyai sisi gelap dan negatif, tetapi menghukum mereka perlu mempunyai hadnya.

Katanya, tentera siber parti lawan memancing umat Islam untuk saling bermusuhan dan membenci sesama sendiri sehingga lupa terhadap isu sebenar, iaitu lambakan warga China yang datang ke Malaysia sebagai pelancong asing, tetapi tidak meninggalkan negara selepas visa mereka tamat tempoh.

Aktivis Muslim Care Malaysia itu berkata, rakyat perlu mempersoalkan kehilangan puluhan ribu pelancong China dengan visa sementara, ketika permohonan kerakyatan meningkat secara mendadak pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan.

“Jangan kita lupa di zaman kerajaan PH pula mengumumkan RM22 bilion nilai rumah mewah tidak terjual dan akan dibuka belian kepada warga asing,” tulisnya dalam catatan di Facebook semalam.

“Ini semua menimbulkan kesangsian rakyat, terutama Bumiputera yang sebahagiannya masih berada dalam kemiskinan. Kluster kayangan warga asing ini masuk dengan berkepuk wang tidak seperti etnik Rohingya yang papa dan tanpa pendidikan asas.”

Riduan meminta rakyat berhati-hati terhadap teori konspirasi “bidak catur musuh Islam” membawa masuk bangsa asing demi mengucar-kacirkan sosio budaya Malaysia yang dilihat mempunyai peranan dalam dunia Islam.

Katanya, dunia Islam tidak lagi memandang negara Arab sebagai sumber rujukan politik dan kebaikan, sebaliknya negara bukan Arab seperti Turki serta Malaysia dijadikan kuasa semak dan imbang, tetapi umat Islam di Malaysia sangat lemah dan mudah terpancing emosi sehingga sanggup menyerang sesama sendiri.

Oleh itu, beliau menggesa Putrajaya bertegas dalam isu lambakan warga asing, melakukan pemutihan kewarganegaraan dan menghukum pengkhianat negara yang terbabit dalam sindiket penjualan kad pengenalan.

Baru-baru ini, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia, Halim Ishak dalam wawancara dengan saluran radio Bernama berkata, kerajaan Malaysia tidak perlu membantu etnik Rohingya yang disifatkannya pengotor dan pembawa masalah.

Katanya, pelarian Rohingnya bukannya pelarian perang, tetapi pendatang tanpa izin, jadi mereka tidak perlu diberikan keistimewaan berbanding pelarian lain.

OIC perlu jadi pelindung Rohingya

Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga AJK PAS Pusat dan pengerusi Lajnah Antarabangsa parti Islam itu, menggesa rakyat tidak menangguk di air keruh, sebaliknya perlu memahami isu sebenar dihadapi etnik Rohingya yang berdepan penghapusan etnik sehingga terpaksa menjadi pelarian dan mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Beliau meminta Putrajaya mencari penyelesaian jangka panjang, tetapi pada masa sama patut mempunyai belas kasihan terhadap pelarian ketika pihak berkuasa memperketatkan kawalan di sempadan negara.

Katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu menjadi pelindung etnik Rohingya dengan menubuhkan dana khas, menggerakkan bantuan kemanusiaan untuk menjaga kesihatan dan memberi pendidikan kepada mereka.

Beliau berkata, negara Asean perlu segera mengadakan dialog dan bekerjasama menghulurkan bantuan rentas sempadan bagi membantu pelarian Rohingya di samping menangani isu kedaulatan serta kemanusiaan secara bersama.

“Kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan dunia, teruskan desakan bagi mewujudkan keamanan dan kebebasan di wilayah Arakan, Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Khairuddin Aman Razali yang juga AJK PAS Pusat berkata, semua pihak perlu berwaspada terhadap serangan saraf pihak berkepentingan di media sosial bagi menutup pembunuhan beramai-ramai Rohingya dan mengurangkan sokongan antarabangsa terhadap etnik itu.

“Setiap bangsa ada yang baik dan buruk, ada yang berakhlak dan tidak, namun siapa pun yang tertindas wajar dibantu.

“Tinggal lagi bagaimanakah cara dan kaedahnya? Ia merujuk kepada situasi dan keadaan yang sudah pasti berbeza,” katanya yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar.

Lebih 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas keganasan etnik dan agama di Myanmar pada 2017 yang menyebabkan negara itu didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Januari lalu.