Persatuan hotel Pulau Pinang mahu kerajaan negeri tawar insensif kepada pelancong

Berkuat kuasa 1 Jun 2014, kerajaan Pulau Pinang, mengenakan bayaran RM3 semalaman untuk setiap bilik di hotel 4 dan 5 bintang, manakala RM2 untuk bilik di hotel 3 bintang dan lebih rendah.

GEORGE TOWN: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang mahu kerajaan negeri menawarkan insentif perjalanan kepada pengunjung selepas industri pelancongan di sini mengalami penurunan perniagaan yang drastik ekoran pandemik Covid-19 di seluruh dunia dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia.

“Kami menjangkakan sektor pelancongan merupakan industri terakhir yang akan kembali meningkat. Jadi saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memberikan beberapa insentif perjalanan kepada pelancong jadi Pulau Pinang akan menjadi destinasi pilihan pertama bagi mereka,” kata pengerusi MAH cawangan Pulau Pinang Khoo Boo Lim dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, MAH juga mengalu-alukan pertimbangan yang dibuat kerajaan Pulau Pinang untuk meneliti pengecualian fi hotel kepada pengunjung seperti yang diumumkan baru-baru ini semasa perbincangan meja bulat pelancongan Pulau Pinang serta inisiatif positif oleh kerajaan negeri untuk meringankan beban yang ditanggung pengusaha pelancongan dalam menghadapi pandemik ini.

“Memandangkan industri hotel di Pulau Pinang juga mengalami kesan drastik disebabkan penularan wabak ini, kami amat mengalu-alukan sokongan dan pengecualian untuk membantu pemulihannya,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Yeoh Soon Hin menjelaskan tempoh permulaan pengecualian fi masih dalam kajian kerana sekatan perjalanan dalam tempoh PKP ini.

Khoo Boo Lim

“Kami bekerjasama erat dengan pengusaha industri pelancongan dan MAH cawangan Pulau Pinang telah mencadangkan bayaran yang dikenakan kerajaan negeri dikecualikan ekoran persetujuan kerajaan negeri Kedah untuk mengecualikan fi hotel bagi setiap bilik di Langkawi,” katanya.

Berkuat kuasa 1 Jun 2014, kerajaan negeri Pulau Pinang, mengenakan bayaran RM3 semalaman untuk setiap bilik di hotel 4 dan 5 bintang, manakala RM2 untuk bilik di hotel 3 bintang dan lebih rendah.

Caj RM2 juga dikenakan untuk dorm, hotel bajet, asrama dan rumah tamu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan semua pengusaha pelancongan dan pihak berkepentingan untuk menghidupkan kembali industri pada saat yang paling tepat.