Pinjaman buku digital bertambah, kata Perpustakaan Negara

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani berkata hampir 40,000 buku digital dipinjam bulan lalu berbanding purata 15,000 buku pada bulan biasa.

KUALA LUMPUR: Pinjaman buku digital Perpustakaan Negara (PNM) meningkat sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani berkata hampir 40,000 buku digital dipinjam bulan lalu berbanding purata 15,000 buku pada bulan biasa.

Katanya, pendaftaran keahlian baru untuk u-Pustaka dan pengunjung portal perpustakaan itu turut meningkat mendadak sepanjang PKP.

“Statistik pendaftaran keahlian dan pengunjung portal menunjukkan peningkatan semasa PKP. Sehingga 21 April lalu, jumlah ahli u-Pustaka adalah 501,295.

“Semasa PKP saja, pendaftaran keahlian mencecah 22,982 ahli. Pendaftaran keahlian tertinggi adalah semasa permulaan PKP, iaitu mencecah 6,069 pendaftaran dalam masa sehari (19 Mac),” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Aidatul Hasnida berkata, pinjaman buku digital ketika PKP lebih kepada bahan bacaan berbentuk fiksyen.

“PNM dari semasa ke semasa cuba memperbanyakkan bahan bacaan digital untuk diakses rakyat. Antara inisitif yang dilaksanakan adalah menambah bilangan bahan bacaan digital setiap tahun.

“Di samping itu, PNM melalui projek u-Pustaka sebagai hab maklumat negara telah berjaya mendigitalkan 1.7 juta muka surat bahan bacaan tempatan seperti manuskrip Melayu, buku nadir serta koleksi negara yang boleh diakses melalui portal u-Pustaka.”

Katanya, PNM berharap dapat menarik lebih ramai rakyat menggunakan perkhidmatan yang disediakan u-Pustaka.

“Bagi mencapai hasrat ini, kami amat mengalu-alukan keterlibatan perpustakaan di Malaysia untuk turut sama menggalakkan penggunaan perkhidmatan u-Pustaka dalam kalangan masyarakat.

“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia menyasarkan pembangunan ekonomi berstruktur semula berlandaskan ilmu yang bernilai tinggi di semua peringkat masyarakat.

“Melalui u-Pustaka, kami menyediakan pelbagai maklumat yang sesuai untuk semua peringkat umur dan dalam pelbagai subjek serta boleh diakses di mana-mana saja oleh rakyat.”