Pos Malaysia tawar pekerjaan ketika PKP

Pelaksanaan PKP menyaksikan peningkatan pembelian secara atas talian.

PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad mempelawa rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas peluang menjana pendapatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pos Malaysia berkata syarikat itu memerlukan “pos rider” atau ejen sepenuh masa untuk serahan item Pos Laju di seluruh negara dengan menyediakan komisyen sehingga RM6,000.

Syarikat itu berkata Pos Rider diperlukan di beberapa negeri di seluruh negara antaranya Johor (Pekan Nanas, Kulai dan Pasir Gudang); Lembah Klang (Shah Alam, Kelana Jaya, Bangi, Puchong, Rawang, Balakong, Cheras, Kelana Jaya dan Kota Damansara); Negeri Sembilan (Seremban dan Nilai); Perak (Setiawan).

Negeri lain termasuk Pulau Pinang (Kepala Batas dan George Town); Kedah (Langkawi, Kulim, Jitra, Sungai Petani dan Alor Setar); Pahang (Kuantan dan Bentong); Terengganu ( Dungun dan Chukai); Kelantan (Kota Bharu dan Machang); Sarawak (Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu) dan Sabah (Kota Kinabalu).

“Antara syarat permohonan adalah orang ramai mesti memiliki van (komersial) berpanel penuh atas nama sendiri atau syarikat, memiliki lesen memandu penuh GDL dan telefon pintar Android 5.0,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka yang berminat boleh menghantar permohonan menerusi e-mel [email protected]

Pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19 menyaksikan peningkatan pembelian secara atas talian kerana orang ramai berdepan pelbagai sekatan termasuk kesukaran memandu ke kedai serta terpaksa beratur panjang ketika membeli belah sepanjang tempoh PKP.