Presiden Afrika Selatan jadi bahan lawak gara-gara struggle nak pakai topeng waktu ‘live’

Presiden Afrika Selatan ‘sporting’ tidak marah aksinya pakai topeng tidak menjadi, hingga viral dan jadi bahan jenaka. (Gambar Twitter)

Memakai topeng hidung dan mulut kini menjadi satu perkara yang wajib bagi semua penduduk dunia.

Jika sebelum ini, pemakaiannya mungkin dikhususkan pada waktu tertentu saja seperti ketika menaiki motor atau sewaktu musim jerebu, namun kini ia dianggap sebagai keperluan untuk mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

Baru-baru ini, Presiden Afrika Selatan dijadikan bahan lawak selepas beliau dilihat “struggle” untuk memakai topeng muka dalam satu siaran langsung.

Menurut laporan BBC, ketika itu Cyril Ramaphosa sedang membuat pengumuman untuk menarik semula beberapa sekatan perintah berkurung di Afrika Selatan bermula bulan depan.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar kekal berada di rumah, dan menyeru mereka memakai topeng penutup mulut dan hidung ketika keluar.

Dan pada saat itulah, beliau cuba membuat demonstrasi dengan memakai sendiri topeng sebelum ia kelihatan huru hara apabila topeng itu menutup matanya kemudian terbuka pula bila ia ditarik ke bawah.

Kejadian ini menjadi hiburan dan bahan jenaka bagi rakyatnya malah ada yang menyamakannya sebagai ahli baru kumpulan “Ninja Turtle”.

Bagaimanapun Presiden Afrika Selatan ternyata begitu sporting dan tidak marah apabila dirinya dijadikan bahan lawak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]